Membaca kemenangan presiden Umno


Awang Azman Awang Pawi

DALAM politik angka sangat penting menentukan kalah menang, diterima atau sebaliknya. Dalam pemilihan presiden Umno Sabtu lalu, Ahmad Zahid Hamidi menang di 99 bahagian, Khairy Jamaludin 61 bahagian manakala Tengku Razaleigh Hamzah mendapat 30 bahagian.

Budaya Umno selama ini tidak iktiraf kewujudan undi popular, jikalau merujuk polemik Pilihan Raya Umum ke-13. Namun, jika dikira undi popular, Zahid yang dianggap calon konservatif juga mendapat undi popular tertinggi.

Ini bermakna perwakilan juga mahu memberikan mandat kepada Zahid untuk mempertahan dan memperjuangkan isu hak istimewa Melayu, Islam dan Bumiputera yang menjadi ideologi parti berusia 72 tahun tersebut. Mandat juga diberikan untuk beliau memelihara Umno sebagai parti berteraskan nasionalisme Melayu.

Pada masa sama, pemilihan Zahid ini adalah untuk memperbaharui tradisi Umno bagi memastikan kesinambungan politik berteraskan Melayu ini terus relevan dalam menghadapi gelombang penolakan rakyat malah ahlinya sendiri yang didakwa hampir 4 juta pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Menurut Zahid, Umno masih kuat. Parti itu menang 54 kerusi Parlimen dan 139 kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding dengan PKR mempunyai 50 kerusi Parlimen, DAP 42 kerusi, PAS(18),PPBM (13) dan Amanah 11 kerusi.

Dalam konteks tersebut kedudukan Umno kuat, kecualilah terdapat ahli atau wakil rakyat Umno yang tidak tahan diuji akibat kekalahan Barisan Nasional (BN) dan hilang jawatan lantikan politik, projek, permit dan segala macam peluang kemewahan sebagaimana ketika Umno menjadi parti pemerintah negara.

Kini ada yang panik dan bertindak keluar dan mengumumkan sebagai wakil rakyat bebas dengan harapan mereka akan dipancing oleh mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

Kelompok inilah yang sebenarnya melemahkan dalaman Umno dan sewajarnya meletakkan jawatan.

Umno perlu meletakkan kepercayaan terhadap pemimpin yang mempunyai pengalaman politik yang luas dan tahan diuji. Zahid pernah dimasukkan sebagai tahanan ISA apabila bersetia kawan dan menyokong Anwar Ibrahim, sebelum kembali menyokong padu Dr Mahathir Mohamad sebagai presiden Umno dan perdana menteri ketika itu.

Beliau juga disindir kerana menyokong kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak atas nama menyokong institusi yang lebih besar, iaitu institusi Umno.

Kesetiaan Zahid kepada Anwar, Dr Mahathir (ketika dalam Umno), Pak Lah dan Najib ialah contoh kesetiaan yang kuat dalam budaya tradisi politik Umno.

Kesetiaan ini kurang dilihat pada Tengku Razaleigh yang pernah menentang Dr Mahathir dan Umno, membentuk Parti Semangat 46, berpakat dengan pembangkang ketika itu tetapi gagal untuk menewaskan Umno dan BN.

Khairy pula dilihat sebagai anak muda bercita-cita tinggi akan tetapi belum teruji dari segi kesetiaan seperti Zahid yang zaman berzaman terus bersama Umno. Idea Khairy untuk membuka keanggotaan Umno kepada bukan Melayu menjadikan beliau dilihat tidak sejajar dengan kemahuan akar umbi dan dilihat gagal membaca isi hati ahli Umno bawahan.

Kehendak akar umbi

Akar umbi yang ditemui juga mengakui kemenangan Zahid menunjukkan perwakilan mahukan beliau diberikan peluang untuk menerajui Umno kerana beliau dilihat lebih rapat dengan akar umbi Umno di seluruh negara, mudah didekati, mesra rakyat, dilihat sebagai imej anak Melayu konservatif, rakyat biasa berpenampilan sederhana, mempunyai latar yang kuat dalam pendidikan agama dan juga berpendidikan tinggi hingga ke peringkat doktor falsafah.

Pendirian tegas Zahid tidak mahu membuka Umno kepada bukan Melayu misalnya melambangkan kemahuan sebahagian besar akar umbi Umno yang konservatif yang percaya Umno kalah bukan kerana masalah parti yang tak terbuka kepada bukan Melayu. 

Akar umbi Umno percaya bahawa komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan tidak menyumbangkan kerusi yang diperlukan hingga menyebabkan kekalahan BN. Logik politik ini dihidangkan oleh Zahid kepada penyokong akar umbi Umno dalam kempen pemilihan calon presiden baru-baru ini.

Populariti Umno juga kritikal di saluran pengundi muda. Namun, adakah ini salah pemimpin tua? Lim Kit Siang, Dr Mahathir, Dr Wan Azizah Wan Ismail juga pemimpin berusia malah ada yang lebih berusia daripada pemimpin Umno jikalau ada suara menyalahkan kepimpinan Umno lama. Kepimpinan muda Umno barangkali popular akan tetapi tidak mampu menarik pengundi muda saluran empat, lima dan enam.

Apa pun, sebagai presiden baharu Zahid pasti akan menjadikan pemulihan Umno agenda utamanya. Pemulihan parti ini termasuklah menjadikan parti ini lebih inklusif, bebas rasuah, berintegriti tinggi, terbuka, tidak bersifat elitis, mendekati golongan bijak pandai untuk menyertai umno dan menangani wabak politik wang.

Yang penting ialah menyediakan parti umno sebagai sebuah parti pembangkang terbesar yang berazam lebih kritis, disegani sebagai pemantau semak dan imbang dalam kerajaan PH.

Tugas ini agak mencabar namun pemulihan dan kebangkitan Umno perlu untuk memastilan perubahan dapat dilakukan untuk memastikan parti tersebut sentiasa relevan pada masa kini dan masa depan.

Mitos orang Najib

Yang menarik dalam pemilihan ini ialah bahagian Pekan yang diketuai oleh Najib tidak memilih Zahid sebagai presiden Umno. Sebaliknya, Pekan memilih Tengku Razaleigh sebagai calon pilihan Pekan.

Tindakan bahagian Najib tidak menyokong Zahid dalam pemilihan sebagai presiden ini seolah-olah mengesahkan desas-desus bahawa hubungan Najib-Zahid tidaklah sebaik mana berbanding persepi pihak di luar Umno.

Sudah diketahui umum bahawa pelantikan Hishammuddin Hussein iaitu sepupu Najib sebagai menteri tugas-tugas khas pada April tahun lepas, seolah-olah satu petunjuk jelas bahawa jawatan perdana menteri bukanlah disediakan untuk Zahid yang ketika itu sebagai pemangku timbalan presiden Umno.

Zahid dilihat diperlukan Najib hanyalah untuk dijadikan benteng politik kerana beliau tahu Zahid sangat popular dan berpengaruh dalam kalangan akar umbi Umno.

Tanpa kedudukan Zahid ketika itu, Najib dengan mudah dapat disingkirkan oleh musuh politiknya seperti Muhiyiddin dan Dr Mahathir. Justeru, beliau tidak boleh menolak Zahid secara keras.

Namun, pelantikan Hishammuddin sebagai menteri tugas-tugas khas seolah-olah Najib mahu menyediakan Hishammuddin sebagai calon perdana menteri untuk menggantikannya.

Pelantikan Hishammuddin dianggap sebagai cara Najib menguji sejauh manakah reaksi awam dan ahli Umno ketika itu.

Ramai akar umbi yakin bahawa Najib merancang untuk melantik sepupunya sendiri sebagai perdana menteri dan bukannya Zahid sekiranya BN menang dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Naratif ini masih berlegar dalam kalangan ahli umbi dan menjadi sentimen yang membawa kepada kemenangannya sebagai presiden Umno. Seterusnya tercatat dalam sejarah sebagai presiden Umno pertama tanpa jawatan perdana menteri! – 3 Julai, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen