Meriahnya memandu di Malaysia


Zaidel Baharuddin

SETIAP kali, walau apa gaya hari raya ucapan pun, khususnya daripada menteri dan pegawai kanan kerajaan beruniform, ia mesti diakhiri dengan pesanan berhati-hati di jalan raya.

Saya tidak pasti sama ada benda ini unik di Malaysia saja atau ianya merupakan satu corak di semua negara yang majoriti penduduk Islam, namun berdasarkan laporan World Health Organisation, Malaysia merupakan negara ketiga yang mempunyai jalan raya paling bahaya di dunia berdasarkan kiraan kemalangan maut.

Anda risau untuk terbang kerana takut pesawat anda hilang; ditembak roket pemberontak atau mengalami gegaran luar jangkaan? Lupakanlah semua itu kerana mengikut statistik, anda jauh lebih hampir kepada kematian sewaktu dalam perjalanan pergi atau pulang dari lapangan terbang menaiki kereta atau motor berbanding jatuh dari angkasa.

Walaupun berpuluh tahun kita merdeka, sehingga ke hari ini kita masih mendengar isu perpaduan dan api perkauman yang tidak padam-padam; daripada kegagalan menguasai bahasa kebangsaan hinggalah bergaduh kerana kurma. Namun, syukur, sekurang-kurangnya dalam budaya pemanduan nampaknya masyarakat kita bersatu padu berbilang kaum dalam memandu dengan begitu teruk sekali.

Sebagaimana lampu isyarat itu berwarna-warni, begitu jualah makian anda kepada pemandu lain di atas jalan raya yang merentasi pelbagai kaum, bahasa dan bangsa.

Bercakap mengenai lampu isyarat Malaysia yang sememangnya unik dan mempunyai pandangan berbeza dari dunia. Hijau jalan, kuning bermaksud perlahankan kenderaan dan merah waktu untuk berhenti, tetapi di Malaysia, ditakrifkan sebagai hijau itu pergi, kuning sebagai pergi lagi laju dan merah boleh pergi kalau tiada kereta.

Tahukah anda di Malaysia juga lintasan zebra itu hanya untuk haiwan zebra saja, sebab itu kenderaan tidak pernah berhenti untuk manusia melintas.

Sedang saya mendengar rancangan radio Melayu yang berjudul peka dan prihatin yang menampilkan seorang DJ wanita pertengahan umur yang namanya akak sesuatu (saya tak ingat namanya) sekali-sekala akan ada satu, dua pemanggil yang meminta orang ramai menjadi sedikit prihatin untuk tidak memandu perlahan apabila duduk di lorong kanan.

Pemanggil akan marah kerana katanya lorong kanan untuk memotong dan punca segala kemalangan, kehibaan dan kesesakan jalan raya datangnya daripada golongan mereka yang memandu perlahan di lorong kanan jalan raya dan lebuh raya.

Mengikut mereka, ini amatlah bahaya dan tidak bertanggungjawab kerana mereka yang memandu mengikut had laju ditetapkan di lorong kanan menganggu pemanduan pemandu yang berhemah yang sedang memecut selaju 180 kilometer sejam.

Lupakanlah penembusan lintasan jalur lebar yang tinggi, kadar rakyat yang menerima pendidikan tinggi semakin meningkat atau kepantasan penerimaaan maklumat era globalisasi ini; sesungguhnya di atas jalan raya, kita masih tetap insan istimewa.

Istimewa bukan saja dari segi mereka yang mungkin cacat otak kerana meletakkan kenderaan di tempat OKU walhal nampak cukup segala sifat, atau kes istimewa kepada mereka yang menggunakan lorong kecemasan sewaktu kesesakan lalu lintas kerana mungkin tidak tahan nak membuang air besar agaknya, bersangka baiklah, dia tengah tahan teran.

Untuk mengubah budaya dalam masyarakat itu ada yang kata perlu ada pemimpin memberi tauladan, contohnya kalau kita hendak masyarakat bangun bersenam berbanding memakan nasi kandar ayam madu kari sotong pada jam 2 pagi, wajar pemimpin memberikan tauladan yang baik dengan bersenam, berlari atau bermain basikal, Insya-Allah rakyat akan ikut.

Akan tetapi pemimpin kita tak kira dari mana pun yang seringkali mengucapkan hati-hati di jalan raya dan meminta untuk kita bersabar ketika memandu adalah golongan sama yang tanpa segan silu menggunakan peronda polis bagi memotong kesesakan lalu lintas.

Ke mana perginya kepimpinan melalui tauladan di sini, kerana setahu saya melainkan perdana menteri, timbalannya, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan, tidak ada yang mempunyai “escort” keselamatan melainkan golongan raja dan sultan.

Janganlah kalau setakat memegang jawanan tertinggi dalam SPAD atau MPAJ pun hendak ada “outrider”, ini belum masuk lagi perasaan menyampahnya melihat kereta mewah yang memasang lampu siren yang dibeli di Jalan Pasar berhampiran Hotel Wenworth (Pejabat DAP) Kuala Lumpur.

Kepada golongan VIP perasan sendiri yang memasang siren jalan pasar dengan kuatnya sambil mengharapkan saya ketepi, percayalah saya menganggap anda sama seperti ubat lelaki kuat yang dijual di tepi jalan kedai elektronik dan elektrik di jalan pasar; yakni anda tidak tulen, murahan dan mempunyai masalah kelelakian yang serius.

Ya mungkin ini adalah salah satu rencana luahan perasaan penulis, mungkin dia mempunyai masalah peribadi atau sedang menjalankan kempen bagi rakyat Malaysia menggunakan kemudahan pengangkutan awam. Ada kemungkinan di situ, boleh dijadikan spekulasi.

Tetapi spekulasi atau tidak, kematian dan kecacatan akibat kemalangan itu bukan spekulasi atau persepsi – itu kebenaran, fakta dan kenyataan. Berdasarkan statistik kementerian pengangkutan, sebanyak 6,674 kematian dicatatkan pada 2014. Ini tidak termasuk yang cacat seumur hidup, trauma atau tercedera yang saya kira pasti jumlahnya lebih tinggi.

Mungkin ada yang mengatakan penulisan ini ditulis dalam gaya sindiran ada kelakar bunyinya namun tiada apa yang kelakar apabila menerima berita kematian di pagi hari raya atau menyedari anak kecil itu kini yatim piatu hanya kerana kebodohan pengguna jalan raya yang lain.

Kemalangan ialah sesuatu yang tidak dapat atau amat sukar untuk dielakkan, kecelakaan adalah sesuatu yang dapat dijangka hasil tindakan tidak bijak dan dangkal.

Maka di musim perayaan ini, marilah kita mengelakkan dari kecelakaan jalan raya, supaya hidup kita dan hidup orang lain tidak ditimpa celaka.

Ya, mungkin anda sudah bosan mendengar perkara ini berulang-ulang kali disebut setiap kali datangnya musim perayaan, tetapi percayalah ia membawa erti dan maksud begitu penting sekali, bila pulang dari kampung esok ke bandar besar, saya pohon, doa dan pinta untuk anda berhati-hati di jalan raya dan banyak bersabar. Oh dan lagi satu, selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. – 29 Jun, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen