Saman sivil DoJ bermotif politik, kata Apandi Ali


Peguam Negara Mohamed Apandi Ali hari ini menyifatkan saman sivil DoJ untuk merampas kembali aset yang didakwa dibeli mengguna duit 1MDB ada motif politik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2017.

SAMAN sivil untuk merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dirompak daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) bermotif politik, kata Peguam Negara Mohamed Apandi Ali hari ini.

Apandi berkata ini kerana DoJ tidak pernah secara rasmi meminta maklumat atau penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara (ACG).

“Sekiranya mereka meminta, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu mereka. Kerana itu, saya membuat kesimpulan yang ia ada motif politik.

“Tindakan DoJ juga dipercayai berasaskan maklumat yang diberi beberapa individu dari Malaysia,” katanya seperti dipetik Bernama.

Apandi sebelum ini juga berkata yang saman terbaru yang difailkan pada 13 Jun yang membawa jumlah wang yang dikatakan dirompak daripada 1MDB kepada AS$4.5 bilion ialah tuduhan berulang dan kurang bukti wujudnya salah laku.

Bagaimanapun, Majlis Peguam menggelarkan tindakan AGC mengenetepikan saman itu sebagai “bermasalah dan tidak boleh diterima”, dan mendesak Apandi menyiasat dakwaan DoJ itu.

Penasihat DAP Lim Kit Siang semalam mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah wujudnya usaha bersama kerajaan, BN dan sekutu mereka untuk menggambarkan saman itu sebagai campur tangan asing ke dalam isu dalaman negara.

Ini ialah saman ketiga DoJ, yang bermatlamat untuk merampas aset bernilai AS$1.7 bilion termasuklah sebuah kapal layar persendirian bernilai AS$165 juta yang dimiliki Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Pada Julai tahun lepas, DoJ memfailkan saman sivil untuk merampas dan memperolehi kembali aset bernilai lebih AS$1 bilion yang berkaitan 1MDB yang disifatkan sebagai “konspirasi antarabangsa untuk menggunakan dana dan menggubah wang secara salah”, kes terbesar yang disiasat Inisiatif Pengambil Alihan Aset Kleptokrasi.

Saman AS itu melibatkan beberapa orang rakyat Malaysia, termasuklah “Malaysia Official 1” (MOI) yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Perdana Menteri Najib Razak oleh menteri kabinet Abdul Rahman Dahlan.

Najib menafikan sebarang salah laku dan Apandi juga membebaskannya selepas siasatan dilakukan agensi berkaitan dalam negara.

Sejak saman ketiga itu dilakukan, pelakon Amerika Leonardo Dicaprio dan model terkenal Australia Miranda Kerr sudah menyerahkan kembali hadiah bernilai jutaan dolar AS yang diterima mereka dari Jho Low kepada DoJ. – 27 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen