Najib perlu hentikan berita palsu yang disebarkan pihaknya, kata Kit Siang


PERDANA Menteri Najib Razak harus memberi perhatian terhadap mesej Aidilfitri yang disampaikannya dan mengawal pihak bawahan dan sekutunya, kata Penasihat Kebangsaan DAP Lim Kit Siang hari ini.

Lim berkata Najib harus memastikan kerajaan, Umno, dan Barisan Nasional (BN) tidak menyebarkan berita atau maklumat palsu selepas memberi amaran terhadap fitnah semasa ucapan Aidilfitri menerusi siaran televisyen.

“Baru-baru ini, terdapat lebih banyak contoh kemunafikan Umno/BN, yang menyebarkan berita dan maklumat palsu sementara pada masa sama mengarang berita dan maklumat palsu,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim memetik tiga contoh terbaru berkaitan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk merampas aset bernilai tambahan AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dipercayai dibeli dengan dana yang dicuri daripada firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saman ketiga itu menyatakan jumlah wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB berjumlah AS$4.5 bilion, dengan DoJ bakal merampas aset bernilai AS$1.7 bilion.

Lim berkata komen yang disiarkan pada portal Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) pada 21 Jun mendakwa berlian merah jambu bernilai AS$27.3 juta yang didakwa dibeli oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, dikenali sebagai Jho Low, untuk isteri “Malaysian Official No.1” (MO1) tidak disebut dalam saman.

Komentar itu, yang ditulis “Beruang Biru”, mendakwa berlian itu diada-adakan oleh portal berita Malaysiakini.

Lim berkata itu adalah satu pembohongankerana berlian itu disebut khusus dalam perenggan 346 daripada saman yang panjang dalam seksyen bertajuk “Low mengatur untuk membeli kalung berlian merah jambu 22 karat untuk isteri MO1 menggunakan hasil bon 2013 yang diselewengkan”.

Ahli Parlimen Gelang Patah juga mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan kerana mengatakan saman tersebut menuduh isteri Najib Rosmah Mansor melakukan kesalahan.

“DoJ AS memberikan fakta dan angka dalam saman fitnah, semuanya dalam hitam dan putih, dan tiada yang spesifik lagi mengenai tuduhan pengubahan wang haram dan pengalihan dana 1MDB,” kata Lim.

Beliau juga membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana mengatakan tindakan DoJ adalah satu bentuk campur tangan asing dalam isu domestik.

Lim berkata Menteri Luar Anifah Aman berkata pada Ogos tahun lepas yang saman itu disebabkan urus niaga yang berlaku di AS dan tidak melibatkan intervensi asing.

Beliau menambah seolah-olah menjadi usaha bersepadu untuk menyebarkan kebohongan dan kepalsuan oleh Umno/BN dan PAS untuk menggambarkan saman AS DoJ sebagai satu bentuk campur tangan asing.– 26 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen