Hari Pelarian Sedunia: Hari yang tidak penting agaknya


Hadri Shah

HARI Pelarian Sedunia pada 20 Jun lalu entah mengapa sepi tanpa sambutan. Tiada peringatan. Tiada borak-borak mengenai nasib berjuta pelarian-pelarian. Tiada persoalan mengapa pelarian kian bertambah pada era dunia terpekik-pekikkan kemajuan, teknologi dan kemanusiaan.

Di Malaysia juga begitu.

Mungkin kerana kita masih sibuk beraya. Mungkin juga kita sedang enak berbahagia selepas negara ini diterajui kerajaan bebas kleptokrasi. Ataupun mungkin yang sebetulnya, kita tidak pernah peduli sedikit pun hal isu pelarian?

Tahukah kita, sekurang-kurangnya 1.5 juta rakyat Venezuela adalah pelarian? Tahukah kita bahawasanya mereka adalah bangsa tertindas, hidup merana dalam kelaparan, keganasan dek kerana aturan ekonomi yang menghancurkan keseluruhan hidup mereka?

Seperti yang dilaporkan Vice News pada 18 April 2018, setiap hari berlaku kes kematian di Venezuela kerana stok ubat-ubatan terbatas. Namun Presiden Venezuela Nicolas Maduro bertindak menghancurkan protes rakyat malah mengetatkan cengkaman partinya terhadap kuasa, menyangkal adanya krisis kemanusiaan dan melumpuhkan harapan pembaharuan politik.

Hari Pelarian Sedunia disambut pertama kali pada tahun 2001 bertepatan sambutan 50 tahun termeterainya Kovensyen Pelarian 1951.

Ia bukanlah perayaan yang dilimpahi lampu-lampu neon dan dirayakan penuh keterujaan melainkan bertujuan untuk melukis kesedaran umum tentang jutaan nasib pelarian yang melarikan diri disebabkan perang, konflik atau dianiaya di negeri sendiri.

Pada tahun 2001, dianggarkan 12 juta pelarian mencari perlindungan atau suaka di setiap pelusuk dunia. Selepas 17 tahun, dapatan UNHCR menyatakan terdapat 68.5 juta manusia yang kehilangan tempat tinggal manakala dari jumlah ini 25.4 juta adalah pelarian.

Mengerikan bukan?

Pada titik paling ekstrem, pertambahan bilangan pelarian menjelaskan betapa nerakanya keadaan dunia sekarang.

Walaupun jumlah pelarian bertambah pada setiap tahun, dari konflik perang di Asia Barat, krisis genosid di Rakhine, kemiskinan yang maha dahsyat di benua Afrika sehingga  krisis ekonomi di Venezuela, namun negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat, Itali dan Jerman bertindak sebaliknya.

Keadaan pelarian Rohingya di kem pelarian Kutupalong, Bangladesh. – Gambar EPA, 1 Julai, 2018

Menurut Madeleine Ngo, yang menulis “3 Things We’ve Learned Since Last Year’s World Refugee Day” di portal Vox, negara-negara kaya kini sedang menyusun pelan dan polisi untuk menutup pintu kepada pelarian-pelarian.

Tulis Ngo, “Menurut UNCHR, peratusan besar orang yang terlantar sedang dihoskan di negara-negara membangun, sementara negara kaya seperti Amerika Syarikat dan Itali telah menjadikannya lebih sukar bagi pelarian untuk masuk. September lalu, Trump menurunkan jumlah pengambilan pelarian kepada 45,000 orang – jumlah terendah tahunan. Dan walaupun orang Syria adalah kumpulan terbesar orang yang melarikan diri dari konflik sekarang, dari Januari hingga April tahun ini, AS dilaporkan hanya menerima 11 pelarian Syria.”

Itali di bawah pemerintahan Parti Lega, sebuah parti haluan kanan, dengan bangganya berkeputusan untuk menghantar pulang 500 ribu pendatang haram yang kebanyakannya datang dari Afrika berstatuskan pelarian.

Jerman tidak ketinggalan. Meski sebelum ini kerajaannya pada 2015 membuka sempadan kepada hampir 1.4 juta pelarian namun setelah desakan pihak konservatif, Jerman sedang dalam pelan menghantar pulang imigran dan pelarian ke negara asal mereka yang bergolak.

Bagaimana pula dengan Malaysia?

Yang pasti, negara ini bukan ahli Konvensyen Pelarian 1951.

Laporan Amnesty International Jun 2010 bertajuk “Diseksa Dan Ditinggalkan – Pelarian Dinafikan Hak di Malaysia” membariskan butiran-butiran berkaitan layanan pelarian yang memasuki Malaysia.

Tiada jumlah tepat, namun anggaran menyatakan terdapat 90,000 sehingga 170,000 pelarian berada di dalam Malaysia. Majoritinya pelarian dari Myanmar. Sehingga penghujung Februari 2010, UNHCR berkata ia telah mendaftarkan sekitar 82,400 pencari suaka dan pelarian, di mana daripada jumlah tersebut, 18,500 orang adalah kanak-kanak.

Amnesty International menganggarkan seramai 2.2 juta pekerja asing sah bekerja di Malaysia, serta anggaran 2.2 juta pekerja asing tidak sah (irregular) telah berhijrah ke negara ini. Apa yang tidak diketahui ialah peratusan penduduk pekerja asing yang sebenarnya merupakan pelarian yang belum didaftarkan  atau tidak cuba untuk menuntut suaka.

Sehingga hari ini, undang-undang Malaysia menganggap pelarian perang, pencari suaka adalah pendatang haram. Dengan status begitu, hak mereka tidak diiktiraf.

Laporan Amnesty itu menyatakan keganasan yang dilakukan oleh pihak penguasa, polis dan imigresen terhadap pelarian dan imigran. Pelarian dan pencari suaka dikenakan hukuman seperti penjenayah, gangguan, layanan buruk, pemerasan, penahanan lama yang tidak sepatutnya dan berisiko dihantar pulang secara paksa.

Pendatang haram Afrika yang ditahan oleh pihak pengawal pantai Libya di perairan negara itu baru-baru ini.– Gambar EPA, 1 Julai, 2018

Kesan-kesan penolakan terhadap pelarian imigran membuktikan penindasan Negara melalui sempadan dan karenah birokrasinya.

Bagi Mikhail Bakunin, Negara hanya ‘melindungi’ warganegaranya – mengakui hak asasi manusia – hanya dalam batas-batasnya, baik teritori maupun peraturannya. Maka kemudian secara automatik, Negara tidak akan mahu mengakui hak di luar batas teritori dan regulasi yang mereka tentukan.

Masalah pelarian tidak sepatutnya digalas Negara. Ia adalah tanggungjawab seorang manusia, warganegara, penduduk bumi keseluruhannya.

Masihkah kita ingat kisah nelayan-nelayan Acheh yang menyelamatkan pelarian-pelarian Rohingya terhuyung hayang di atas bot melintasi perairan mereka?

Meski penguasanya melarang kerana keberadaan pelarian akan mengundang masalah lebih serius, apa jawab nelayan-nelayan itu? “Mereka juga berhak hidup seperti saya.”

Semudah dan seikhlas itu.

Sehingga masyarakat tidak lagi berdolak dalih antara semangat nasionalisme dan kemahuan mengiktiraf hak semua pelarian merentasi agama, ras dan perbezaan lainnya, maka di situ bermulanya runtuhan birokrasi Negara dan Sempadannya.

Jika tidak, kita tidak pernah jujur malah bersikap hipokrit bila bercakap tentang hak pelarian.– 1 Julai, 2018
 

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
 

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen