Tanggungjawab besar kerajaan yang dapat sokongan besar


The Malaysian Insight

SEMAKIN ramai rakyat Malaysia menyokong Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya sejak hari pembebasan pada 9 Mei. Satu kaji selidik menunjukkan sokongan dalam kalangan Melayu terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini lebih kurang 70 peratus.

Kaji selidik Oppotus Research Group mendapati 56 peratus responden puas hati dan 14 peratus sangat berpuas hati dengan prestasi pentabdiran PH.

Dapatan kajian ini menarik kerana hanya 30 peratus Melayu mengundi PH pada 9 Mei. Kaji selidik bersemuka itu dijalankan antra 22 hingga 26 Jun.

Ada kebarangkalian peningkatan sokongan dalam kalangan Melayu itu kesan langkah-langkah awal kerajaan Mahathir berjanji membersihkan sistem, menghapuskan rasuah, menyiasat penuh skandal 1MDB dan memansuhkan GST.

Satu lagi kaji selidik yang dibuat oleh Merdeka Centre menunjukkan sokongan bukan Melayu kepada pentadbiran Mahathir lebih tinggi daripada 70 peratus.

Ertinya, mesej kepada PH jelas: rakyat Malaysia menyokong anda. Mereka mahu kerajaan ini berjaya. Mereka sedia memberi pentadbiran ini masa untuk melakukan pembaharuan yang hakiki.

Paling penting, mereka faham bahawa Malaysia Baru bukan kerja serta merta. Ia projek pembangunan negara bangsa yang adakalanya bertatih dalam melakukan pembaharuan seiring dengan langkah membina keyakinan.

Tetapi ini Malaysia yang baru, tentulah kita tidak lagi perlu menganggap isu-isu kaum, agama dan bahasa dalam urusan membuat dasar dan bagaimana kita bertutur dan berkelakuan?

Tidak, masih perlu.

Berjuta-juta rakyat Malaysia mengundi untuk perubahan pada 9 Mei tetapi penyokong PH bukanlah kumpulan yang sama jenis. Mereka bersatu kerana bencikan Najib Razak dan konco-konconya. Mereka bersatu atas nama cinta pada tanah air.

Namun, dalam banyak sisi, mereka ada tanggapan yang berbeza tentang bagaimana seharusnya rupa bentuk Malaysia yang baru ini.

Setelah bertahun-tahun dasar pecah dan perintah Barisan Nasional, jurang kaum dan agama sudah terlalu berakar umbi. Kita jadi orang asing di tanah air sendiri.

Kerajaan PH ada mandat untuk memecahkan belenggu kaum dan agama yang mengikat kita sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

Bukan mudah. Masyarakat perlu ada keyakinan dan selesa dengan rentak perubahan yang berlaku.

Menteri Kewangan Lim Guan eng antara menteri yang kuat bekerja dalam pentadbiran baru ini. Beliau ada banyak yang perlu dilakukan dalam masa yang sedikit.

Beliau mahu merungkaikan kekusutan kewangan yang ditinggalkan Najib secepat mungkin. Beliau mahu Malaysia baru yang garis pemisah yang mengasingkan kita jadi kabur, atau sebaiknya, dihapuskan, segera.

Tetapi melihatkan isu penggunaan Bahasa Mandarin sebagai terjemahan kenyataan rasmi kerajaan, satu tahap keselesaan antara kelompok mesti dibentuk sebelum Malaysia baru jadi realiti.

Berita baiknya bagi Mahathir dan pasukannya, sejumlah besar rakyat Malaysia menyokong langkah-langkah awal mereka sejak 9 Mei.

Lebih baik lagi, rakyat juga faham 9 Mei adalah permulaan untuk sebuah Malaysia baru.

Gunakanlah sokongan ini dengan baik. Eratkan hubungan. Dan jika perlu, bertatihlah sebelum berlari. – 30 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • jelas kelihatan bahawa pimpinan Kerajaan PH skrg ini mendapat kepercayaan yg tinggi dari kalangan rakyat. boleh dikatakan satu kejayaan buat kerajaan baharu. tahniah. teruskan usaha menambat hati rakyat dan memberi perkhidmatan yg tebaik kepada kami semua.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan