Zeti ganti Wahid ketuai PNB


Radzi Razak

Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz akan menggantikan Abdul Wahid Omar yang melepaskan jawatan pengerusi Permodalan Nasional Berhad hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2018.

BEKAS gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz akan menggantikan Abdul Wahid Omar yang melepaskan jawatan pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini, kata syarikat berkaitan kerajaan itu dalam satu kenyataan.

Pelantikan Zeti berkuat kuasa 1 Julai.

Selasa lalu, The Malaysia Insight melaporkan Wahid akan letak jawatan dalam masa terdekat selepas gagal merundingkan kedudukannya dalam PNB.

The Malaysian Insight hari ini juga melaporkan semua ketua GLC dan pelbagai agensi lantikan politik, serta diplomat, akan letak jawatan sebelum 1 Julai, ketika pentadbiran sekarang membersihkan Putrajaya daripada saki-baki lantikan politik era Najib Razak.

“Lembaga Pengarah PNB ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah terhadap sumbangan tidak ternilai dan perkhidmatan Tan Sri Abdul Wahid sebagai pengerusi Kumpulan PNB.

“Semasa perkhidmatan beliau dengan PNB, Tan Sri Abdul Wahid meletakkan peta jalan untuk PNB mencapai tiga mandat; memberikan pulangan lebih baik dalam portfolio PBV, menambah kekayaan dan penyertaan ekonomi Bumiputera dan menggunakan keuntungan PNB untuk inisiatif sosial berkesan,” kata PNB dalam satu kenyataannya.

Dalam kenyataan sama, PNB turut mengumumkan peletakan jawatan Awang Adek Husin sebagai pengarah PNB dan pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).

“Lembaga Pengarah YPB dan PNB turut mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Dr Zeti dan melahirkan keyakinan dengan pengalaman luas yang dimilikinya, beliau akan terus memberikan kepimpinan kuat untuk Kumpulan PNB dalam mencapai mandat kami untuk menambah baik kekayaan korporat untuk faedah rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Wahid dilantik sebagai pengerusi PNB pada 1 Ogos, 2016 selepas tempohnya sebagai senator dan menteri di Jabatan Perdana Menteri berakhir.

Sebelum menyertai Kabinet, beliau merupakan presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Malayan Banking Bhd (Maybank).

Zeti pula menjadi gabenor BNM selama 16 tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2016, selepas mengambil tindakan terhadap mendenda 1MDB kerana kegagalan syarikat itu mengemukakan bukti ia menggunakan AS$1.83 bilion untuk pengurusan dan penstrukturan semula hutang di luar negara.

Zeti kemudian digantikan oleh timbalannya Muhammad Ibrahim yang sebulan kemudian mengumumkan siasatan BNM terhadap 1MDB selesai.

Sementara itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan memangku tugas Awang Adek sebagai pengerusi YPB.

Lembaga Pemegang Amanah YPB turut distrukturkan semula dan dianggotai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang akan turut bertindak sebagai pengerusi berganti YPB, Zeti dan bekas ketua audit negara Ambrin Buang. – 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen