Menteri tidak faham minta pemandu teksi bersabar


MERUJUK kembali kenyataan sidang media yang dibuat Menteri Pengangkutan Anthony Loke, kami melahirkan rasa kesal dan kecewa.

Daripada pengamatan kami, kami yakin YB sebenarnya tidak faham apa yang kami tuntut dan apa yang kami bantah.

Saya tidak faham bagaimana seorang menteri boleh meminta kami bersabar setelah sekian lama mata pencarian kami dirompak tanpa pembelaan kerajaan.

Kami tidak menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di atas masalah yang kami hadapi selama ini, kerana kami sedar dan kami tahu PH baru saja mengambil ahli pemerintahan daripada kerajaan terdahulu.

Namun kami berasa terkilan di atas ketidakpekaan kerajaan PH khususnya Kementerian Pengangkutan terhadap masalah yang kami hadapi.

Bagaimanakah kementerian boleh meminta kami bersabar sedang kementerian berhasrat memberi hak sama rata kepada mereka (pemandu kereta sapu) yang selama ini merompak mata pencarian kami?

Apakah kementerian berhasrat membiarkan mereka (pemandu kereta sapu) terus merogol Industri kami?

Kami telah lama menghadapi suasana kehidupan yang amat sengsara, pendapatan kami dirompak, keluarga kami berpecah belah, anak pinak kami hidup dalam kemiskinan, malah imej kami sengaja diburukkan.

Merujuk kepada kenyataan YB Loke kononnya dasar kerajaan tidak boleh menunaikan permintaan kami supaya Grab diharamkan kerana seluruh dunia menguna pakai perkhidmatan e-hailing, kami berpendapat beliau yang sehingga hari ini masih belum mengadakan perjumpaan dengan kami sebenarnya tidak faham apa yang kami tuntut dan apa yang kami bantah.

Kami sama sekali tidak pernah membantah atau meminta kerajaan mengharamkan e-hailing, sebaliknya kami menyokong perkhidmatan e-hailing dan mengharapkan e-hailing akan terus diperkasakan.

Cuma apa yang kami bantah dan tuntut pengharaman adalah aplikasi yang disalahgunakan seperti Grab, Gabir, MyCar dan sebagainya.

Kami tidak menafikan e-hailing diguna pakai di seluruh dunia, tetapi persoalannya apakah YB Loke tahu atau sedar di luar sana (di luar negara) e-hailing hanya digunakan kepada kenderaan teksi yang sah, dan bukannya kepada kenderaan persendirian.

Banyak negara luar mengharamkan aktiviti kereta sapu e-hailing seperti #Uber, dan kami yakin jika Grab ada di negara mereka, sudah pasti Grab juga akan diharamkan.

Kami tidak faham kenapa kementerian tidak berhasrat untuk membangunkan sendiri aplikasi teksi bagi menggalakkan masyarakat menggunakan e-hailing secara sah daripada mengamalkan budaya pergantungan kepada syarikat aplikasi yang jelas menggalakkan masyarakat (pemandu) melanggar undang-undang? – 28 Jun, 2018.

* Kamarudin Mohd Hussain ialah timbalan pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "Kami telah lama menghadapi suasana kehidupan yang amat sengsara, pendapatan kami dirompak, keluarga kami berpecah belah, anak pinak kami hidup dalam kemiskinan, malah imej kami sengaja diburukkan."

    bagaimana pula dengan penumpak yang di rompak pemandu teksi secara zalim dnegan emngenakan tambang tanpa meter kepada mereka yang memerlukan perkhidmatan teksi..Ini berlaku sejak berzaman..

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan