
AHMAD Zahid Hamidi mungkin calon presiden pilihan bagi pemimpin bahagian Umno, namun sumber parti mendedahkan, perwakilan di peringkat akar umbi mungkin menunjukkan sokongan berbeza.
Ini memandangkan, pemilihan sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri Umno pada hujung minggu lalu menunjukkan perwakilan mahukan perubahan.
Satu sumber Umno menegaskan, gelombang perubahan akar umbi Umno begitu kuat untuk dinafikan para ketua bahagian.
“Nampak sokongan ketua bahagian kepada Zahid sebagai pemangku presiden tetapi apakah ketua bahagian boleh pastikan perwakilan undi ikut pilihan mereka?” kata sumber yang enggan dinamakan.
Katanya, golongan perwakilan itu juga lebih cenderung memilih putera raja Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan bukannya bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.
Sumber berkata golongan ketua bahagian atau ketua perang ini juga tidak berpuas hati dengan Khairy kerana giat mengkritik mereka.
“Khairy cakap banyak mengenai ‘warlord’. Mereka ini ketua bahagian, memang mereka nak ‘mandikan’ (tolak) dia pun,” katanya.
Mengulas keputusan pemilihan ketua sayap hujung minggu lalu, sumber berkata ia turut menunjukkan perwakilan tidak memilih calon yang ada kaitan dengan kesinambungan kepemimpinan.
“Kita tengok trend semasa, Asyraf Wajdi menang menunjukkan petanda kesinambungan tidak ada kekuatan, kita tahu kesinambungan Khairy adalah Khairul Azwan Harun (calon ketua Pemuda).
“Di Umno bahagian Khairy, di Rembau sendiri yang Khairy ada suara, Khairul Azwan tewas… Ini menunjukkan ketua Umno di bahagian tidak mempunyai suara,” katanya.
Begitu juga pemerhatiannya dalam pemilihan ketua Wanita Umno yang menurutnya menujukkan perwakilan menolak calon yang ada kesinambungan daripada penyandangnya.
“Contohnya ketua Wanita sendiri tidak boleh tentukan perwakilan undi siapa. Ketua-ketua Wanita nak Azizah Mat Dun kerana dia ini kesinambungan daripada Shahrizat Jalil, bekas ketua Wanita.
“Tapi Noraini Ahmad menang. Itu petunjuk (bahawa) apa kehendak ketua tak semestinya ahli ikut,” katanya.
Maka tidak mustahil jika Tengku Razaleigh, yang juga ahli Parlimen Gua Musang di Kelantan muncul menewaskan Khairy dan juga Zahid dalam pemilihan parti kali ini, kata sumber.
“Jangan terkejut trend kali ini presiden dari Kelantan, timbalan presiden orang Kelantan, ketua Pemuda pun orang Kelantan,” katanya.
Calon timbalan presiden yang dimaksudkannya adalah Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa yang juga ketua penerangan parti.
Beliau dilihat menghadapi saingan sengit dari bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan, yang juga pemimpin bahagian Khairy.
Pemilihan kali ini juga menyaksikan hampir 40% ketua bahagian mengekalkan jawatan tanpa pertandingan dan ini menggambarkan bahawa Zahid akan menempuh laluan mudah untuk menggantikan Najib.
Salah seorang ketua bahagian Umno yang dihubungi The Malaysian Insight berkata, pemimpin di bahagiannya berhasrat untuk mengekalkan kesinambungan kepimpinan itu.
Johan Abd Aziz yang mengetuai bahagian Hulu Langat berkata kalangan pemimpin bahagiannya sudahpun bersetuju untuk memilih Zahid sebagai presiden.
“Saya ikut jemaah dan institusi parti, sudah dipersetujui Zahid selaku pemangku presiden saya patuh. Kalau Zahid nak letak jawatan lain cerita,” katanya.
Namun, lain pula pandangan ketua bahagian Labis, Johor, Mohd Azahar Ibrahim yang berkata kali ini perwakilan sepatutnya diberi peluang untuk memilih.
“Kita serahkan setiap perwakilan menentukan siapa yang layak dan mempunyai kemampuan berdasarkan pengalaman kriteria dan keupayaan calon yang bertanding, terutama mereka yang bertanding jawatan tertinggi.
“Umno Bahagian Labis serah kepada ahli siapa yang benar-benar mereka rasakan layak menerajui kepimpinan,” katanya.
Pemilihan bagi jawatan tertinggi Umno akan berlangsung pada 30 Jun depan dengan menggabungkan sistem undi perwakilan dan juga electoral college. – 27 Jun, 2018
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
nak jadi warlord kena banyak duit..la nih duit pun tak dak nak jadi warlord macam mana?
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan