Yang tersurat dan tersirat dalam pemilihan Umno


Awang Azman Awang Pawi

PEMILIHAN Umno pada hujung minggu ini paling menarik dan perlu diberikan perhatian.

Pertama, ia perlu dilihat sebagai reaksi, sentimen dan sikap ahli Umno dan perwakilan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan kekalahan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah.

Kedua, untuk melihat tahap perubahan kepimpinan dalaman Umno selepas presiden Umno mengundur diri sebagai bertanggungjawab terhadap kekalahan BN.

Ketiga, untuk melihat sejauh mana Umno mampu menyediakan barisan kepimpinan yang lebih ampuh dan kekal relevan untuk menawan semula Putrajaya, selepas jadi parti pembangkang terbesar.

Seramai 74 ketua bahagian Umno menang tanpa bertanding manakala 85 ketua Pemuda, 108 ketua Wanita dan 126 ketua Puteri tidak dicabar. Ini menarik untuk dibaca.

Ia seolah-olah memperlihatkan ahli dan perwakilan cenderung pada status quo dan tidak menggambarkan situasi sebenar yang ingin perubahan dan memulihkan parti.

Apakah benar pemilihan Umno pada kali ini merupakan ibu segala demokrasi sebagai dikatakan oleh pemangku presiden Umno sendiri?

Kenyataan ini menarik apabila dianggarkan sekitar 40 hingga 65% pimpinan di peringkat bahagian menang tanpa bertanding selepas pencalonan pemilihan parti tersebut selesai dibuat pada minggu lepas.

Situasi ini seolah-olah Umno masih lagi mahu mengekalkan kepimpinan yang lama dalam kepimpinan bahagian.

Cengkaman kekuasaan ketua bahagian yang dianggap hulubalang politik masih mengawal politik bahagian, berupaya menggerakkan jentera kempen kerana mempunyai kuasa ekonomi yang kuat dan pengaruh terhadap pengikut dan ahli hingga mencetuskan kesetiaan kepada kepimpinannya.

Di sisi yang lain apabila menang tanpa bertanding seolah-olah Umno ketandusan kepimpinan baru atau bakat muda lebih ramai bersedia untuk menyeberang ke Pakatan Harapan.

Sebenarnya inilah cabaran untuk melakukan perubahan berlaku kerana kepimpinan lama di bahagian masih berkuasa dan mereka inilah dahulu merupakan menyokong kuat kepimpinan Umno lama, ketika Najib Razak menjadi presiden.

Golongan ini tanpa berbelah-bahagi menyokong kuat Najib meskipun pelbagai persepsi terhadap isu nasional seperti 1MDB, GST, Felda dikaitkan dengan presiden mereka.

Di peringkat ketua bahagian, mereka pernah menjadi benteng terakhir yang ampuh mempertahankan Najib sehingga gagal ditegur malah terus berkuasa sehingga berakhir penggal dan pilihan raya.

Legasi lama

Tidak sampai setahun dahulu semua 191 ketua bahagian Umno seluruh negara menyokong penuh kepimpinan dan pentadbiran Najib sebagai presiden parti, pengerusi BN dan perdana menteri.

Begitu juga dengan Kelab Naib Ketua Umno Bahagian yang melafazkan taat setia dan sokongan tanpa berbelah bahagi. Tidak ketinggalan juga sokongan ahli Majlis Tertinggi Umno yang terus mendukung kepimpinan Najib sehingga Umno tewas PRU.

Malah pada Perhimpunan Agung Umno 2017 pergerakan Pemuda Umno membuat usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang dianggap tokoh hebat dalam arena politik tanah air yang menandatangani “Deklarasi Kelantan” turut menzahirkan sokongan penuh terhadap bekas perdana menteri.

Tingkah laku politik ketika itu seolah-olah ramai takut dipecat dalam parti daripada BN hilang kuasa.

Berakhir hegemoni

Berakhirnya hegemoni Umno dan BN membawa kepada satu persimpangan hala tuju kepimpinan parti. Ramai yang mahu mengekalkan yang lama sebagaimana keputusan pemilihan sayap. Ada ramai juga yang inginkan pembaharuan dalam kepimpinan parti.

Namun petunjuk yang ada kini lebih kepada mengekalkan tradisi parti dan pembaharuan berlangsung secara evolusi.

Malah pemilihan calon utama berebut kerusi presiden parti misalnya, terdiri daripada orang lama. Tengku Razaleigh, Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin, ketiga–tiga mereka ini orang lama dari segi penglibatan dalam politik dan masing-masing mempunyai sejarah yang tersendiri dalam politik.

Ku Li misalnya, pernah keluar Umno, membentuk parti Semangat 46, menentang Umno dan BN sebelum tewas dan kembali menyertai Umno dan BN.

Apabila Asyraf Wajdi Dusuki menang sebagai ketua pemuda Umno, meskipun beliau tewas dalam PRU lepas, agak sukar rasanya bagi perwakilan memberikan kemenangan kepada Ku Li dan Annuar Musa yang bertanding naib presiden.

Bayangkanlah sekiranya Ku Li dan Annuar menang.

Umno akan mempunyai presiden, timbalan presiden dan ketua pemuda Umno dari negeri Kelantan yang sudah hampir 30 tahun dikuasai oleh Pas dan gagal dirampas oleh Umno Kelantan!

Ini merupakan pemilihan Umno Malaysia dan parti ini merupakan parti nasional dan bukannya pemilihan Umno Kelantan.

Perwakilan sudah pasti mempunyai logika politik untuk dipertimbangkan sekiranya memberikan kemenangan Mohamad Hasan dan Khairy yang sama-sama datang dari Rembau, Negeri Sembilan.

Zahid mempunyai kelebihan dekat dengan akar umbi melalui jawatan naib presiden Umno, mantan timbalan perdana menteri yang membolehkannya bergerak di seluruh negara.

Sebab itu, dijangka Zahid mudah mendapat 18 daripada 25 bahagian Umno di Sabah bagi menyokong pencalonannya kecualilah berlakunya perubahan secara drastik melalui kempen dan gerakan pada saat-saat akhir.

Namun hubungan baik Zahid dengan Najib misalnya mencalarkan imej kepimpinan beliau yang turut sama gagal menegur presiden parti dan bekas perdana menteri dalam pelbagai isu nasional.

Ini sebenarnya refleksi kepada budaya politik Umno yang sukar berubah dari segi konsep taat setia terhadap pemimpin mereka.

Berdasarkan situasi ini kelihatan terdapat kesinambungan politik lama terus berlangsung dalam Umno dan sukar untuk berubah.  Kemahuan di peringkat akar umbinya masih lagi ingin mengekalkan kepimpinan yang lama serta memberikan peluang kepada pemimpin mereka berubah sebagaimana sikap sejak dahulu.

Yang mengkritik keras dianggap menyimpang daripada budaya tradisi dan dianggap cuba mengkhianati perjuangan parti.

Pada masa yang sama pegangan kepimpinan lama termasuk dalam bahagian terhadap akar umbi masih terlalu kuat. Situasi ini akan berubah secara perlahan namun akan mengambil masa sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun ini.

Perubahan ini mungkin kurang relevan lagi nanti, apabila peralihan undi kepada Pakatan Harapan dijangka akan terus meningkat sekiranya Umno belum dapat menyesuaikan diri sebagai pembangkang yang kuat. – 26 Jun, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen