BN masih belum terima surat rasmi Gerakan 


Kamles Kumar Radzi Razak

Pemangku Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan meminta Setiausaha Agung dan Setiausaha Kerja BN, Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mendapatkan maklumat terperinci daripada pimpinan Gerakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Jun, 2018.

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) masih belum menghantar notis rasmi kepada Barisan Nasional (BN) mengumumkan ia keluar daripada gabungan itu, kata pemangku pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi. 

Zahid berkata beliau akan meminta Setiausaha Agung dan Setiausaha Kerja BN, Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mendapatkan maklumat terperinci daripada pimpinan Gerakan.

“Saya akan melihat keputusan yang dibuat oleh mereka secara teliti dan saya akan meminta SUA (setiausaha agung) BN dan Setiausaha Kerja BN untuk menghubungi mereka kerana kita belum dapat surat rasmi dari mereka.

“Saya tak dapat beri kenyataan lanjut (mengenai pengumuman Gerakan keluar BN) ketika ini, kerana itulah kami mahu melihat secara terperinci,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, hari ini. 

Zahid mengulas kenyataan Gerakan mengumumkan parti itu keluar BN selepas mesyuarat jawatankuasa pusatnya hari ini. 

Menurut Zahid, pihaknya tiada rancangan untuk membuang parti-parti yang tidak memenangi kerusi atau kurang berkesan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu kerana BN adalah sebuah parti yang berkongsi kuasa.

BN, katanya, mesti menghormati konsep perkongsian kuasa itu.

“Kita beri peluang (kepada parti sebegini) atau berkompromi menukar kawasan (pilihan raya) kerana yakin dengan perkongsian kuasa,” kata Zahid.

Gerakan tewas semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi negeri yang ditandinginya pada PRU14, pencapaiannya paling buruk dalam sejarah parti itu.

BN yang pada 9 Mei lepas menang 79 kerusi Dewan Rakyat kini tinggal 57 kerusi selepas gabungan politik sejak selepas PRU 1969 itu terlerai apabila satu demi satu parti komponen meninggalkannya bermula di Sabah dan selepas itu, Sarawak.

Keputusan Gerakan ini menyusul 11 hari selepas empat parti komponen di Sarawak meninggalkan BN dan membentuk pakatan parti politik tempatan atas nama Gabungan Politik Sarawak (GPS).

Semasa PRU14, BN mempunyai 13 parti komponen ditunjangi Umno. BN kini dianggotai tiga parti - Umno, MCA dan MIC manakala sebuah lagi komponen, MyPPP bertelagah antara pimpinannya sendiri mahu kekal atau tidak bersama BN.

Gerakan ditubuhkan di Pulau Pinang pada 1968 sebagai parti berbilang kaum, diasaskan oleh pemimpin bekas MCA, bekas Parti Buruh dan tokoh akademik  termasuk Syed Hussain Alatas, Dr Tan Chee Koon, Lim Chong Eu dan Profesor Wong Gungwu.

Ia menang pilihan raya umum 1969 dan membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang, sebelum menyertai BN pada 1972. Gerakan adalah kerajaan negeri di Pulau Pinang sehingga 2008. – 23 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen