Larangan tukang masak asing baru peringkat cadangan, kata menteri


Kamles Kumar

Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata cadangan itu masih memerlukan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2018.

MENTERI Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata pengumuman mengenai pengambilan tukang masak tempatan di restoran hanyalah satu cadangan dan masih memerlukan perbincangan dengan semua pihak berkaitan.

Kulasegaran memberitahu The Malaysian Insight keputusan muktamad mengenai perkara itu masih belum dibuat.

“Belum ada keputusan lagi. Kita perlu berbincang dengan semua pihak berkepentingan,” katanya ketika dihubungi.

Kenyataan Kulasegaran semalam dikritik di media sosial sehingga ada yang menggelar beliau xenophobic atau rasis.

Menurut laporan Bernama semalam, menteri itu dipetik berkata semua restoran di negara ini akan diminta supaya mengupah tukang masak tempatan sahaja mulai 1 Januari depan.

“Kami mahukan orang tempatan diambil bekerja sebagai tukang masak. Tiada kompromi…kami beri masa hingga 31 Disember untuk berbuat demikian. Jika gagal, kami tidak dapat bantu lagi,” beliau dipetik berkata.

Pengumuman Kulasegaran itu mendapat rekasi negatif dari persatuan pengusaha restoran seperti Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India (Prisma).

Ia turut mengejutkan pengusaha restoran lain kerana menurut mereka arahan itu akan meningkatkan kos serta tukang masak tempatan kurang pengalaman dan pengetahuan mengenai resipi masakan tertentu di samping permintaan gaji yang tinggi.

Kulasegaran berkata cadangannya itu hanya akan melibatkan restoran tempatan seperti penjaja, restoran mamak dan kedai kopi, yang dianggap sebagai kedai makan tempatan dan tenaga kerja di dapur harus hanya melibatkan rakyat Malaysia.

“Ia hanya terpakai kepada restoran Malaysia seperti gerai-gerai, bukan restoran luar. Kita harap ia dapat dilaksanakan.

“Kalau di restoran Perancis, mereka tak ambil pekerja tempatan. Sudah tentu mereka perlu mengupah orang yang mahir dengan masakan mereka.”

Jelasnya, cadangan itu selari dengan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan yang mahu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

PH berikrar untuk mengurangkan 6 juta pekerja asing kepada 4 juta dalam penggal pertama pentadbirannya.

Data dari Kementerian Dalam Negeri dari 2002 hingga 2017 menunjukkan kenaikan dari 1.06 juta kepada 1.8 juta pekerja asing, atau 250,000 bekerja di sektor perkhidmatan termasuk restoran. – 23 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen