Kadar kematian jalan raya di Malaysia ketiga tertinggi di dunia


KADAR kematian melibatkan kemalangan jalan raya di Malaysia adalah ketiga tertinggi di dunia, lapor Bloomberg.

Negara ini mencatatkan kadar kematian sebanyak 23 orang bagi setiap 100,000 penduduk, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2013, kata laporan itu.

Thailand mempunyai rekod terburuk dengan kadar kematian sebanyak 36.2 orang diikuti Afrika Selatan dengan 25 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Selain Thailand, Malaysia juga mempunyai kadar kematian tertinggi di Asia Tenggara. Negara lain termasuklah Indonesia yang mencatatkan kadar kematian 15 orang dan Filipina 11 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Bertajuk “Riskiest Roads – Here’s another thing investors in emerging markets to worry about: Traffic”, Bloomberg berkata kadar kematian purata bagi negara maju adalah 9.3, berbanding 24.1 bagi berpendapatan rendah dan 18.4 untuk negara berpendapatan sederhana.

Laporan itu menyatakan pengguna jalan raya di negara berpendapatan rendah dan sederhana lebih dua kali ganda berdepan risiko kematian dalam kemalangan jalan raya berbanding di negara maju. – 20 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen