Umno memilih, Malaysia memerhati


SETAKAT Isnin, 18 Jun 2018, ada tiga pemimpin calon utama bertanding jawatan presiden Umno.

Seperti yang kita tahu, Umno kini di persimpangan jalan yang paling penting. Kita sangat sedar akan krisis keyakinan rakyat terhadap Umno. Mereka mempersoalkan kemampuan serta kewibawaan Umno untuk jadi sebuah parti sepertimana ia pernah dikenali suatu masa dulu.

Banyak yang melihat Pemilihan Umno 2018 sebagai pemilihan yang akan menentukan nasib parti itu. Oleh itu, walaupun ahli-ahli Umno yang akan “memilih” tetapi negara, seluruh negara sedang memerhatikannya dengan dekat.

Suka atau tidak, Umno masih parti yang mencetuskan reaksi paling meluaskan dalam politik Malaysia.

Sekarang ini, kita barangkali sudah menghadam kekalahan dalam PRU14. Saya secara peribadi tidak pasti sejauh kita benar-benar memahaminya tetapi daripada pemerhatian saya, semua kenyataan yang diucapkan oleh semua tiga calon ini mengirimkan mesej yang sama. Mereka bertanding: “Untuk memastikan survival parti ini dan menggerakkan perubahan dalam Umno.”

Apa yang mereka maksudkan apabila bercakap tentang perubahan?

Bagaimana kita mengubah Umno?

Berikut adalah beberapa usul:

Perubahan sebuah organisasi tidak jauh bezanya dengan perubahan sebuah parti politik. Apalagi, Umno adalah sebuah pertubuhan.

Perubahan menyeluruh Umno merangkumi beberapa peringkat.

Pertama, kita perlu menilai semula Umno sebagai sebuah parti politik, dengan menganalisis keadaan semasa pertubuhan ini.

Bagaimanakah keadaan Umno sekarang dan bagaimana kita beralih daripada keadaan semasa kepada keadaan yang sepatutnya?

Umno harus dinilai dari atas sampai ke bawah untuk memahami sepenuhnya risiko yang dihadapi oleh parti, komitmen pemimpinnya, dan hala tuju strategiknya. Kita juga perlu menyemak dan mengukuhkan misi dan visi bagi memastikan ia masih relevan bukan hanya untuk Umno tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia di luar parti.

Keduanya, kita perlu menyemak tingkah laku dalam Umno. Kita perlu menyemak tadbir urus parti. Dengan berbuat demikian, kita memberi peluang kepada diri kita sendiri untuk dihormati oleh pelbagai pihak di luar parti. Kita perlu melihat sistem dan tadbir urus, bagaimana kita mengamalkan demokrasi dan integriti dalam Umno.

Ketiganya, kita perlu menyemak semula struktur parti. Kita perlu menjalankan kaji selidik dan tinjauan pendapat dengan jujur. Saya peminat tegar data kerana data mendedahkan kepada kita banyak perkara. Umno perlukan banyak data yang tepat untuk membuat rumusan yang betul. Kita perlu menubuhkan sebuah pasukan pemikir yang disertai oleh pakar politik, pakar Umno, orang biasa, bukan Melayu dan banyak lagi untuk mengenal pasti apakah struktur yang terbaik bagi pengundi Malaysia hari ini. Proses ini merangkumi analisis yang berkesan, penilaian pihak yang berkepentingan (pengundi, pemimpin dan rakyat Malaysia amnya) serta strategi komunikasi.

Dan akhir sekali, selepas semua proses ini, marilah kita memastikan kita mengubah cara berfikir. Pada ketika ini, kita sepatutnya sudah menerima hakikat bahawa kita sekarang sudah jadi pembangkang dan kita perlu jadi pembangkang yang berkesan. Itu sekurang-kurangnya tanggungjawab kita kepada rakyat Malaysia. Kita perlu mengubah cara berfikir bahawa apa yang kita percaya selama ini mungkin sebenarnya tidak relevan dalam suasana politik semasa negara. Apa rancangan kita untuk kekal relevan? Kenapa masih ada berita tentang permusuhan dalaman kerana berebut kuasa sedangkan kuasa bukan lagi sesuatu yang kita ada? Kita mungkin akan kehilangan kuasa itu selama-lamanya jika kita enggan berubah.

Apakah kita masih dalam berkhayal?

Lebih mustahak, kita perlu melakukan semua ini bersama-sama untuk meyakinkan orang untuk bersama-sama dengan kita.

Ketika mesej daripada semua calon presiden hampir sama, bahawa setiap orang sedang menggerakkan perubahan parti, saya sangat ragu, siapa sebenarnya, maksud saya, yang betul-betul berjuang demi survival parti, dan ini menarik perhatian saya untuk menyentuh tentang calon paling muda.

Khairy Jamaluddin atau lebih terkenal dipanggil KJ atau anehnya, Abah (kenapa?).

Tidak dapat dinafikan beliau calon paling menonjol bagi generasi milenial yang akan jadi kelompok pengundi paling besar pada masa akan datang. Beliau tahu bagaimana hendak menggunakan kuasa media sosial, beliau tahu bagaimana dengan mendekati mereka dan beliau dianggap berjaya sebagai menteri belia dan sukan dalam kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, sikap Pemuda Umno (kecuali sebahagian yang benar-benar tulen ahli Umno) di bawah kepimpinan beliau sebagai ketua Pemuda, memualkan.

Mereka kebanyakannya terasing daripada realiti, samseng, suka menunjuk-nunjuk kekayaan, serta bersikap keterlaluan seperti diva. Sangat elitis.

Bagi mereka yang arif, Pemuda pimpinan Khairy dilihat sebagai kelompok yang tidak begitu pedulikan agenda untuk memperkasakan Melayu dan Islam sebaliknya hanya menyertai Umno untuk mengayakan diri. Mereka penuh dengan muslihat.

Ada kebimbangan yang nyata sekiranya beliau terpilih jadi presiden Umno, beliau akan terus mengutamakan kelompok ini dan kita boleh ucapkan selamat tinggal kepada Umno untuk selama-lamanya kerana mereka ini adalah legasinya, dan merekalah yang akan mengheret Umno ke kancah kehancuran.

Dengan bebannya ini, bolehkah beliau menunaikan janji perubahan yang disebut dalam kenyataannya?

Bolehkah beliau mengotakan kata-katanya?

Bagaimana?

Kepada semua ahli Umno yang layak mengundi, anda ada kuasa yang besar. Saya merayu, undilah dengan sebijak-bijaknya.

Pemilihan ini tidak sama seperti semua pemilihan Umno yang lepas. Masa depan parti ini dalam tangan tuan-tuan dan puan-puan. Untuk mengundi dengan bijak, sila pertimbangkan beberapa hal utama tentang pemimpin yang akan menerajui Umno pada masa yang getir ini.

Tolong pastikan bakal pemimpin kita itu:

  • Seorang yang mampu meneruskan perjuangan demi nasib Melayu dan Islam;
  • Seorang yang berintegriti yang mampu memikul amanah yang diletakkan pada bahunya dengan jujur;
  • Seorang yang selama ini terbukti telah teruji kesetiaannya pada Umno;
  • Seorang yang sudah membuktikan selama ini bahawa beliau setia dan tabah untuk berjuang demi masa depan Umno;
  • Seorang yang cukup dihormati bukan saja untuk menyatukan semula semua ahli Umno tetapi juga mampu meyakinan rakyat untuk menyertai Umno sebagai ahli baru untuk mengukuhkan lagi parti ini.

Saya menyeru semua orang dalam Umno untuk tidak memikirkan diri sendiri. Jangan terjebak dengan politik wang, Jangan ulangi kesilapan yang lama. Walaupun kita mungkin sudah bergerak ke depan dengan idea “meremajakan Umno” tetapi saya fikir gandingan yang lama dan yang baru boleh menjadikan parti dilihat lebih menggerunkan lagi.

Yang muda ada wawasan dan tenaga tetapi yang lama ada sesuatu yang juga penting: kebijaksanaan, ilmu dan strategi.

Undilah dengan bijak. Undi anda menentukan masa depan Umno.

Inilah masanya,

Hidup atau mati.

Saya merayu.

Kenanglah anak cucu kita. Masa depan kita.

Apabila anda memilih bakal pemimpin Umno, fikirkan masak-masak tentang pemimpin yang benar-benar boleh berjuang untuk mengembalikan maruah parti dan menjadikan parti ini lebih kuat daripada sebelumnya.

Saya ucapkan, selamat memilih. – 20 Jun, 2018.

* Nurul Ashiqin adalah ahli Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Selamat memilih

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jaymani Sevanathan · Ulasan