Wan Azizah nafi hanya calonkan Idris, Amirudin juga pilihan PH


Radzi Razak

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, semua pihak sedia maklum Amirudin Shari turut disenarai pendek sebagai pengganti Azmin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2018

PRESIDEN PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak dakwaan wakil rakyat Ijok Dr Idris Ahmad bahawa hanya nama beliau dipersetujui oleh PKR dan Pakatan Harapan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Kata Dr Wan Azizah, kenyataan Idris itu hanya “pandangan peribadi” beliau, dan pandangannya itu tidak betul.

Dr Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri sebaliknya menegaskan, semua pihak sedia maklum bahawa Menteri Besar Selangor yang baru dilantik, Amirudin Shari turut disenarai pendek oleh PKR sebagai calon pengganti Mohamed Azmin Ali.

“Itu pandangan peribadi (Dr Idris), lagi pun parti memang telah cadangkan beberapa nama dan ini termasuk Amirudin,” katanya kepada wartawan selepas menerima kunjungan Amirudin di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

“Saya ingat perkara (tak dapat restu) itu tidak berbangkit kerana salah satu cadangan (nama menteri besar) adalah Amirudin.

“Beliau pun telah angkat sumpah sebagai menteri besar, jadi kita perlu teruskan (pentadbiran) kerajaan negeri dengan barisan exco sedia ada,” katanya.

Dr Wan Azizah mengulas dakwaan Adun Ijok itu pagi ini bahawa pelantikan Amirudin tidak mendapat restu pimpinan tertinggi Pakatan Harapan.

Idris mendakwa nama Amirudin hanya dicadangkan oleh Azmin tanpa persetujuan parti lain.

Sumber daripada PH bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, nama Amirudin dan Idris telah dicadangkan oleh Ketua Umum PH Anwar Ibrahim semasa mengadap Sultan Selangor pada 31 Mei lalu. Cadangan sama juga dikemukakan oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Amirudin dalam pada itu meminta semua pihak agar tidak lagi membangkitkan isu pelantikan menteri besar dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan Selangor ditadbir dengan baik oleh PH.

Amirudin juga menafikan pertemuan dengan Dr Wan Azizah tadi ada kaitan dengan isu “restu” pelantikannya sebagai menteri besar, sebaliknya kunjungan biasa seorang menteri besar bertemu presiden partinya selepas mengangkat sumpah.– 19 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen