Amirudin dipilih MB Selangor cadangan nama Anwar, Mat Sabu


The Malaysian Insight

Ketua Umum PH Anwar Ibrahim mengemukakan surat cadangan calon MB selepas diminta berbuat demikian oleh Sultan Selangor ketika beliau menghadap baginda pada 31 Mei lalu di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. – Gambar Facebook, 19 Jun, 2018.

SULTAN Selangor memilih Adun Sungai Tua Amirudin Shari berdasarkan surat cadangan tiga nama yang dikemukakan oleh Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dengan disokong oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Anwar mengemukakan surat cadangan itu selepas diminta berbuat demikian oleh Sultan Selangor ketika beliau menghadap baginda sebelum ini.

Kunjungan Anwar itu berlangsung di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pada 31 Mei lalu. Ia turut disertai bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

“Tiga nama itu termasuklah Amirudin dan Idris Ahmad yang sebelum ini dicadangkan oleh Wan Azizah dan disokong oleh ketiga-tiga pemimpin parti PH di Selangor,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Titah perintah menghantar tiga nama itu turut disampaikan kepada Mohamad ketika menteri pertahanan yang juga presiden Amanah itu menghadap Sultan Selangor.

Ekoran itu, Mohamad menghantar surat mencadangkan tiga nama sebagai calon menteri besar Selangor menggantikan Azmin.

“Bersatu dan DAP tidak menghantar surat baharu sebab sultan hanya minta dari PKR dan Amanah saja,” kata sumber itu.

Sebelum surat Anwar, Wan Azizah dengan sokongan tiga pemimpin parti-parti PH di Selangor telah menghantar surat kepada baginda dan menamakan Adun Ijok Dr Idris Ahmad sebagai calon menteri besar.

Namun ia dibuat tanpa perbincangan dengan Azmin, yang masih lagi menteri besar ketika itu.

Amirudin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor hari ini bagi menggantikan Azmin yang kini menteri hal ehwal ekonomi di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Idris dilaporkan membuat laporan polis ekoran dakwaan beliau terpalit dengan skandal penipuan melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Idris menyifatkan dakwaan itu cubaan menjatuhkan maruahnya bertujuan menghalang beliau dipilih sebagai menteri besar Selangor.

“Saya merujuk kepada peguam yang meminta saya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya (kerana) penyebaran berita (dakwaan) ini boleh menjejaskan maruah saya sebagai wakil rakyat.

“Saya menafikan terlibat seperti didakwa berita yang disebarkan, ia tidak benar dan memfitnah saya,” kata laporan polis itu.

Idris dijadual mengadakan sidang media pagi ini untuk menjelaskan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu. – 19 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen