Adun Ijok dakwa Amirudin tak dapat sokongan Pakatan


Menteri Besar Selangor baharu, Amirudin Shari didakwa tak dapat sokongan semua parti Pakatan Harapan, hanya disokong Mohamed Azmin Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Jun, 2018.

PELANTIKAN Menteri Besar Selangor baharu, Amirudin Shari tidak mendapat sokongan semua parti Pakatan Harapan, kata calon awal jawatan itu, Dr Idris Ahmad hari ini.

Adun Ijok dari PKR itu mendakwa hanya beliau satu-satunya calon yang mendapat sokongan semua parti komponen PH.

“Amirudin hanya dapat sokongan Azmin (Ali),” kata Idris seperti dipetik Malaysiakini pada sidang media hari ini.

Amirudin menggantikan Azmin yang terpaksa melepaskan jawatan menteri besar selepas menerima lantikan menteri hal ehwal ekonomi kerajaan persekutuan. Azmin adalah ketua PH Selangor dan timbalan presiden PKR.

Amirudin dan Azmin mempunyai hubungan rapat sejak penubuhan PKR pada 1998.

Dalam sidang media hari ini, Idris menunjukkan salinan surat menyokong pelantikannya sebagai menteri besar yang ditandatangani empat ketua parti dalam PH - Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari, Ketua Amanah Selangor Izham Hashim dan Ketua DAP Selangor Tony Pua.

Katanya, nama Amirudin dan Adun Seri Setia Shaharuddin Badaruddin hanya dihantar selepas Istana meminta nama tiga calon.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan, Istana meminta tiga nama daripada Ketua Umum PH Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Katanya ini berlaku selepas Wan Azizah menghantar nama Idris sebagai calon pilihan untuk jadi menteri besar.

Pada sidang media sama, Idris juga mendakwa Azmin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor pada 11 Mei, dua hari selepas pilihan raya umum tanpa persetujuan semua parti PH.

Katanya, sudah wujud spekulasi yang PH mahukan beliau menjadi menteri besar sebelum PRU14 lagi.

“Saya tak mahu jadi budiman lagi, dia buat ikut suka dia sahaja,” katanya dipetik berkata merujuk kepada pelantikan Azmin sebagai menteri besar.

Idris juga sudah membuat laporan polis untuk membersihkan namanya daripada dakwaan menyeleweng wang dana pendidikan.

Beliau mempersoal kesahihan dakwaan itu yang timbul ketika namanya hangat diperkata akan menjadi menteri besar Selangor. – 19 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Amirudin paling layak menggantikan Azmin. Beliau ada karisma dan juga telah terbukti sebagai ADUN yang cemerlang. Tenaga muda semacam beliau diperlukan untuk membawa Selangor lebih maju. Pilihan Amirudin sebagai MB amat tepat sekali.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Ken destino · Ulasan