KETUA Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengesahkan menawar diri bertanding jawatan presiden parti itu, pada hari terakhir pencalonan pemilihan Umno hari ini.
Bekas menteri belia dan sukan itu memuat naik borang pencalonannya di Instragram dan menulis: “Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.”
Beliau juga sebelum itu menulis sebuah pepatah Inggeris dengan maksud yang hampir sama di Twitter.
Let the chips fall where they may.
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) June 17, 2018
Khairy kemudian menyerahkan borang pencalonannya ke ibu pejabat Umno melalui bekas setiausaha politiknya petang tadi.
Beliau juga menyampaikan pesan memaklumkan wartawan, tidak berganding dengan mana-mana calon lain termasuk Ketua Bahagiannya sendiri Mohamad Hasan yang bertanding kerusi timbalan presiden.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan hari ini menyatakan sokongan buat Khairy dan berkata ahli Parlimen Rembau berusia 42 tahun itu akan membawa parti ke tahap yang lebih tinggi.
The Star Online hari ini menjangkakan Khairy akan mengemukakan permohonannya untuk bertanding bagi jawatan presiden Umno di ibu pejabat parti itu hari ini.
Khairy sebelum ini mengumumkan akan bertanding untuk salah satu daripada tiga jawatan naib presiden.
Hari ini adalah hari terakhir bagi para calon untuk mengemukakan permohonan mereka bagi pemilihan parti yang dijangka menjadi paling sengit dalam tempoh 30 tahun.
Pemilihan pada 30 Jun dilihat sebagai langkah pertama yang penting dalam usaha Umno untuk membina semula parti selepas kehilangan kuasa persekutuan buat pertama kalinya dalam sejarah negara.
Jawatan presiden setakat ini adalah pertarungan di antara tiga calon iaitu Timbalan Presiden Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan penulis blog Rahmat Azim Abdul Aziz. – 17 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan