Rahman Dahlan sokong KJ tanding presiden Umno


Bekas menteri, Abdul Rahman Dahlan berkata Kairy Jamaluddin akan menetapkan tanda aras tinggi dalam Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2018.

BEKAS menteri Abdul Rahman Dahlan menyatakan sokongan kepada Khairy Jamaluddin jika ketua Pemuda Umno itu berhasrat mahu bertanding jawatan presiden.

Andai ini berlaku, Khairy akan menetapkan tanda aras tinggi dalam parti, kata Rahman yang juga ahli Majlis Tertinggi serta pernah berkhidmat dengan ahli Parlimen Rembau itu dalam Pemuda Umno.

“#KJ4President Now that’s out of the box. Totally! #UMNOMemilih2018 (#KJ4President ini di luar kotak. Sungguh!  #UMNOMemilih2018) ,” tulis Rahman di Twitter.

The Star Online hari ini menjangkakan Khairy akan mengemukakan permohonannya untuk bertanding bagi jawatan presiden Umno di ibu pejabat parti itu hari ini.

Ahli politik berusia 42 tahun itu sebelum ini mengumumkan akan bertanding untuk salah satu daripada tiga jawatan naib presiden.

Hari ini adalah hari terakhir bagi para calon untuk mengemukakan permohonan mereka bagi pemilihan parti yang dijangka menjadi paling sengit dalam tempoh 30 tahun.

Pemilihan pada 30 Jun dilihat sebagai langkah pertama yang penting dalam usaha Umno untuk membina semula parti selepas kehilangan kuasa persekutuan buat pertama kalinya dalam sejarah negara.

Jawatan presiden setakat ini adalah pertarungan di antara tiga calon iaitu Timbalan Presiden Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan penulis blog Rahmat Azim Abdul Aziz.  – 17 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen