Mampukah Umno jadi parti berbilang kaum?


Awang Azman Awang Pawi

BEBERAPA hari selepas kekalahan teruk Umno yang hanya menang 54 kerusi Parlimen berbanding 88 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13, ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mencetuskan idea yang parti tersebut wajar mempertimbangkan secara serius untuk membuka keahlian Umno tanpa mengira etnik.

Kenyataan ini kemudiannya disambut oleh Nazri Aziz, veteran umno yang menyokong membuka keahlian Umno kepada semua sebagai sebagaimana daripada usaha untuk memulihkan parti Umno.

Bagaimanapun Nazri mengakui hal ini terlalu awal untuk diketengahkan kerana akan wujud unsur nostalgia dalam parti yang menyukarkan pelaksanaannya.

Idea ini bukanlah idea yang baru, malah pengasas Umno, Onn Jaafar sendiri ialah pemimpin yang pertama mencetuskan idea ini sejak 1951.

Namun, idea ini tidak diterima oleh ahli parti dan Onn Jaafar kemudian keluar daripada Umno.

Umno parti berbilang kaum?

Sebenarnya idea Umno parti berbilang kaum bakal menimbulkan belenggu kepada hampir 3 juta ahli parti itu. Ini kerana kebanyakan ahli Umno masih lagi golongan konservatif yang meletakkan bangsa Melayu dan agama Islam sebagai teras perjuangan parti.

Umno juga mempunyai nilai-nilai tradisional dan sukar untuk mengubah ideologi yang selama ini jadi pegangannya. Yang ada dalam budaya politik Melayu Umno ialah pembaharuan tradisi (invention of tradition) yang dicipta dalam memastikan kesinambungan politik Melayu.  

Ini termasuklah merujuk fenomena yang dicipta seperti konsep bangsa dikaitkan dengan nasionalisme, simbol-simbol nasional dan sejarah.

Namun, pembaharuan tradisi dalam Umno tidaklah termasuk membuka keahlian kepada pelbagai kaum.

Jika berlaku, ia agak terpencil dan terhad seperti pemilihan John Ambrose, seorang Kadazan Kristian sebagai ketua umno bahagian Penampang bukan Islam yang pertama di Malaysia.

Begitu juga John Ghani yang bukan Islam tetapi Bumiputera pernah menjadi ketua Umno Bahagian Kimanis dan Timbalan Ketua Penerangan Umno Sabah.

Kesemua ini boleh berlaku  disebabkan oleh fenomena sejarah politik di Sabah. Namun, untuk membuka keahlian Umno seluas-luasnya terutama di Semenanjung Malaysia bukanlah pilihan utama dalam kalangan akar umbi Umno.

Orang Melayu konservatif di Semenanjung Malaysia lebih selesa Umno jadi parti politik berteraskan etnik Melayu dan Islam. Bagi mereka tidak salah, Umno sebagai parti berteraskan etnik Melayu.

Kenyataan ini berdasarkan populasi negara, iaitu Melayu dan Bumiputera serta Islam  yang lebih 60%. Ini bermakna apa-apa isu dan masalah masyarakat Melayu perlu dipandang sebagai isu negara dan bukanlah sekadar isu etnik.

Politik Malaysia masih lagi tidak terpisah daripada etnik dan agama apabila melihat dominasi pergerakan parti politik di negara ini. PAS masih berteraskan agama Islam, Bersatu berteraskan Melayu dan Islam. Begitu juga Amanah.

MCA berteraskan etnik Cina manakala MIC berteraskan etnik India. DAP masih didominasi oleh etnik Cina meskipun membuka keahlian kepada seluruh warga negara tanpa mengira etnik. PKR merupakan parti berbilang kaum akan tetapi masih didominasi oleh etnik Melayu.

Penolakan Umno

Parti Umno bukan sahaja ditolak oleh rakyat di negara ini malah oleh ahlinya sendiri pada pilihan raya umum yang lepas-lepas bukanlah kerana faktor ia sebuah parti Melayu.

Umno ditolak rakyat kerana terdapat isu kredibiliti kepimpinan dan persepsi salah guna kuasa yang melampau serta dasar negara yang berasaskan era dominasi dan hegemoni Umno sebagai parti pemerintah.

Memang ada pandangan pada PRU14, hanya 30% Melayu yang menyokong Pakatan Harapan (PH) manakala 70% menyokong Umno dan PAS.

Namun, orang Melayu bertindak sedemikian kerana mereka diyakinkan oleh Umno dan PAS dalam kempen politik yang hanya dua parti itu berupaya menjaga hak keistimewaan Melayu dan melindungi agama Islam.

Situasi ini berlaku apabila terdapat kempen berterusan oleh Umno dan PAS menjelang PRU yang hanya kedua-dua parti tersebut sahajalah mampu melindungi hak keistimewaan Melayu dan agama Islam.

Pelbagai kempen memburukkan PH termasuk oleh ketua menteri Sarawak sendiri yang menyatakan DAP ialah boneka Dr Mahathir Mohamad, DAP perkudakan Dr Mahathir malah Dr Mahathir digunakan DAP untuk memecahkan orang Melayu, sama seperti kempen Najib Razak.

Begitu juga kempen pembangkang dipimpin Kit Siang, labelan Mahajara Lim oleh Shahrizat Abd Jalil.

Kempen Abdul Hadi Awang pula seperti menggesa rakyat menolak DAP dengan tuduhan parti itu menentang Islam secara nyata dan berani melakukan apa-apa sahaja untuk menghalang agenda Islam.

Dalam satu kenyataan media Hadi, beliau memberikan amaran, “umat Islam diharam sekeras-kerasnya menjadi ahli, penyokong atau alat termasuk rakan setia apabila nyata sikapnya terhadap Islam sehingga Allah beri amaran keras dan menjadikannya sebahagian sifat munafik”.

PAS melalui Hadi juga menuduh “DAP juga biadap apabila turut berani mempersoalkan aspek Islam, raja berperlembagaan, hak istimewa Bumiputera dan lain-lain yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Sudah tentu rakyat dapat menilai kenyataan sebenar dengan lebih jelas apabila melihat sikap Umno Perlis dalam isu pelantikan menteri besar Perlis yang menyebabkan kemurkaan Raja Perlis.

Begitu juga sikap Hadi yang paradoks apabila memuji DAP selepas kemenangan PH.

Ternyata kempen PAS dan Umno yang menakutkan pengundi Melayu konservatif menyebabkan perubahan menyeluruh tidak berlaku.

Masih ramai pengundi Melayu takut mengundi PH angkara kempen PAS dan Umno yang menjadikan isu agama dan etnik sebagai kempen memburuk-burukan PH.

Penerimaan Bersatu

Sekiranya Umno menjadi parti berbilang kaum, dijangka sekitar 60% penyokong Umno akan beramai-ramai menyeberang untuk menyertai Bersatu kerana mahukan parti berteraskan Melayu.

Bersatu ialah alternatif terbaik untuk menggantikan Umno kerana ideologi perjuangannya mengenai hak dan kepentingan Melayu dan Islam. Tambahan pula kebanyakan pemimpin Umno yang dipecat zaman Najib dan tak berpuas dengan pentadbiran terdahulu menyertai Bersatu.

Bersatu juga dilihat sebagai “king maker” sebenar dan luar biasa dalam percaturan politik semasa. Hal ini dilihat apabila Bersatu kini dilihat sangat mantap dengan jawatan perdana menteri dan pelantikan dalam jawatan kementerian kanan dengan mengambil kira ia hanya menang 13 kerusi Parlimen sahaja.

Hakikatnya, rakyat tidak mudah menyokong Umno semata-mata kalau parti itu jadi parti berbilang kaum.

Sebaliknya yang rakyat sokong parti yang pemimpinnya ada nilai integriti tinggi, bebas rasuah, benar-benar memperjuangkan agenda parti dan negara.

Yang bersalah dan membawa kekalahan kepada Umno ialah sikap pemimpinnya sendiri yang menggubal, menyokong dan melaksanakan dasar yang kontroversi seperti cukai barangan dan perkhidmatan GST dan terlibat dalam skandal terbesar seperti 1Malaysia Development Berhad yang menjatuhkan reputasi Umno. – 17 Jun, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen