Budaya Umno sulitkan perubahan parti, kata penganalisis


Nabihah Hamid Radzi Razak

Pemusatan kuasa yang kukuh dalam Umno dengan hierarki yang berlapis-lapis tidak boleh dipadamkan dalam masa sebulan pemilihan parti ini berlangsung sekarang, kata Pensyarah Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Kartini Aboo Talib. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2018.

BUDAYA hormat kepada orang lama menyulitkan Umno untuk berubah dengan mengangkat pimpinan muda pada pemilihan parti itu hujung bulan ini, kata penganalisis politik, yang melihat budaya itu antara punca pemusatan kuasa yang kental dalam kalangan pemimpin lama.

Umno akan mati kalau dipaksa berubah secara radikal untuk mengetepikan pemimpin lama dan berumur yang selama ini jadi tunjang kepimpinan parti itu, kata mereka.

Dr Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, adalah mustahil untuk menukar budaya dan tradisi yang sudah jadi darah daging dalam Umno itu dalam masa yang singkat menjelang pemilihan parti 30 Jun ini.

“Kalau nak melihat satu transformasi dalam Umno, kena ambil masa.

“Kita kena beri ruang untuk Umno reform. Perubahan itu tidak boleh dilakukan serta merta. Kalau perubahan secara radikal, mati Umno.

“Terus tiada orang nak bertanding (pemilihan parti),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kartini, pensyarah sains sosial yang antara lain membuat kajian tentang orang muda dan politik, berkata, pemusatan kuasa yang kukuh dalam Umno dengan hierarki yang berlapis-lapis tidak boleh dipadamkan dalam masa sebulan pemilihan parti ini berlangsung sekarang.

Umno membuka pencalonan pada 1 Jun lalu dan akan memilih barisan Ahli Majlis Tertingginya termasuk presiden dan timbalan presiden pada 30 Jun ini, hampir dua bulan selepas kalah dalam pilihan raya umum ke-14.

“Umno masih dalam keadaan terkejut dan memerlukan masa untuk bertenang. Dalam keadaan terkejut ini, siapa yang mampu tampil ke depan?” tanyanya.

Keadaan Umno yang hierarkinya berlapis diakui oleh Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, pensyarah kanan di Fakulti Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Katanya, ruang sempit lapisan hierarki kepimpinan ini menyebabkan banyak pelapis muda yang cerdik dan berpotensi untuk diketengahkan tidak mendapat tempat dalam Umno.

“Budaya Umno sebelum ini tidak memberikan ruang langsung kepada pemimpin baru untuk naik. Kalaulah pemimpin yang cerdik dan sebagainya banyak pihak yang akan cuba menjatuhkan pemimpin-pemimpin macam ini,” katanya.

Ini termasuk pelbagai syarat yang dikenakan oleh Umno untuk ahli-ahlinya bertanding jawatan pusat sebagai Ahli Majlis Tertinggi, tambah Tunku Mohar.

“Syarat-syarat ini merugikan Umno. Ini mungkin sesuatu yang Umno perlu fikirkan,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan dalam keadaan sekarang, ketika parti itu perlu segera bangkit selepas kalah pilihan raya, tidak sesuai untuk Umno mengubah kekangan yang ada.

Mengikut pindaan perlembagaan Umno pada 2009, ahli Umno yang ingin menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi perlu sekurang-kurangnya jadi ahli jawatankuasa (AJK) bahagian selama sepenggal atau tiga tahun, manakala untuk jawatan AJK bahagian perlu jadi ahli Umno sekurang-kurangnya tiga tahun.

Pensyarah Kanan Jabatan Sosio Budaya Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi sebaliknya melihat Umno wajar membuka ruang demokrasi dalam parti seluas-luasnya agar ahli-ahlinya ada lebih ramai pilihan untuk memimpin mereka.

“Sebagai parti Melayu yang terbesar yang dikatakan ada tiga juta ahli, tiba masanya UMNO memperbanyakkan lagi calon mereka agar akar umbi dapat membuat pilihan dengan lebih baik lagi, berbanding dengan calon sekadar satu atau dua orang sahaja.

“Sepatutnya calon itu dipelbagaikan dan diperbanyakkan agar proses demokrasi itu betul-betul berjalan lancar dan mampu membuka ruang demokrasi itu sendiri,” katanya.

Setakat ini, hanya Ahmad Zahid Hamidi menawarkan diri bertanding jawatan presiden sementara veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah masih belum membuat keputusan bertanding walaupun ada desakan kuat dari beberapa negeri.

Bagi jawatan timbalan presiden, setakat ini ada dua calon yang menawarkan diri iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan dan Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa.

Persaingan bagi tiga kerusi naib presiden setakat ini diintai sekurang-kurangnya lapan calon. Mereka ialah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin; bekas menteri besar Perak, Dr Zambry Abdul Kadir; bekas menteri besar Johor, Mohamed Khaled Nordin dan bekas menteri kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani.

Empat calon lain ialah ahli-ahli Majlis Tertinggi, Tajuddin Abdul Rahman, Mahadzir Khalid, Shahidan Kassim dan Ismail Sabri Yaakop.

Senarai calon yang membariskan muka lama ini mencetuskan pandangan Umno sukar berubah sebaliknya masih ditunggangi pimpinan yang tua dan berfikiran lama, walaupun sudah kalah pilihan raya. β€“ 13 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen