Calon pemilihan Umno: Semua otai 'old school'


Zainal Rashid Ahmad

UMNO tahu, ia kini parti yang tidak popular dalam kalangan anak muda. Itu hakikat berdasarkan keputusan penolakan terhadap parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. Malah, Umno tahu imejnya kini tidak urban, tidak terkini dan sangat old school.

Umno bukan saja tua kerana sejarahnya bermula 16 Mei 1946, tetapi dituakan lagi oleh tradisi hierarki yang sangat feudal.

Dalam Umno, budaya lapuknya ialah: Kalau nak memimpin, lesennya mesti otai dan orang lama. Itu hakikat pemikiran feudal yang menjahanamkan Umno selama ini.

Namun, ia masih kekal menebal, kalau dilihat pada senarai nama yang menawarkan diri bertanding dalam pemilihan parti hujung bulan ini.

Justeru, apabila dua nama otai dikaitkan sebagai calon naib presiden, ahli Umno mungkin menilainya sebagai layak bertanding. Tetapi pengundi menilai sebaliknyanya: Umno memang tidak berubah.

Orang macam Shahidan Kassim dan Tajuddin Abdul Rahman sepatutnya sudah berkira-kira untuk angkat kaki.

Apabila Barisan Nasional (BN) tersembam dan Umno hanya menang 54 kerusi Parlimen daripada 123 kerusi yang ditandingi, otai-otai Umno sepatutnya sedar – mereka tidak lagi relevan. Umno ditolak pengundi muda bulat-bulat.

Lima tahun lagi akan datang PRU15. Otai-otai Umno yang sudah bersarang usianya, pasti menumpang populariti Dr Mahathir Mohamad.

Mereka akan berkata: “Pada usia 92 tahun, PM adalah bukti tokoh tua masih relevan.”

Namun, mereka lupa. Kekuatan Dr Mahathir adalah personaliti kepimpinannya. Orang tua macam Tajuddin dan Shahidan yang hanya berperanan sebagai pembodek bekas PM Najib Razak, sebenarnya hanya bahan jenaka anak muda.

Tajuddin dan Shahidan dianggap sama dengan status Rahman Dahlan dan Salleh Said Keruak, dua jaguh daripada Umno Sabah yang sebelum ini hanya berperanan sebagai pembodek dalam parti.

Kedua-dua tumbang di kampung halaman mereka, gambaran orang Sabah pun tidak perlukan wakil rakyat yang hanya berperanan sebagai perkakas pemimpin.

Begitu juga apabila Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Khairul Azwan Harun mengumumkan bertanding jawatan ketua Pemuda.

Umno dilihat masih buta istilah dalam era perubahan ini. Calon berusia 42 tahun pada era ini, dianggap terlalu tua untuk indikasi pemuda. Apa lagi dibandingkan dengan nama-nama pemimpin muda dalam Pakatan Harapan (PH).

Syed Saddiq Syed Rahman berusia 26 tahun ketika memimpin Armada. Nik Nazmi Nik Ahmad berusia 36 tahun, Ketua Pemuda PKR, Faiz Fadzil Nor agak senior sedikit berusia 41 tahun.

Malah, tokoh muda seperti Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, 35 tahun sudah dilihat terkemuka. Pada usia muda, dia pengarah komunikasi PKR.

Setakat ini, yang menarik tentang pencalonan Umno hanyalah Shahril Hamdan, exco penerangan yang menawarkan diri bertanding jawatan naib ketua Pemuda.

Syahril berusia 31 tahun dan calon BN Hulu Langat pada PRU14 lalu. Sekalipun kalah, faktor usia menjadikan Syahril relevan sebagai pelapis Umno.

Jangan sebut nama “pelarian politik” Jamal Yunos. Ia jenaka paling memalukan.

Jamal antara pemimpin ultra Melayu yang menjadikan Umno parti rasis. Lebih menyakitkan hati, anak jantan Sungai Besar ini, sedang lari tidak cukup tanah apabila diburu polis.

Dalam senarai nama calon, Jamal dianggap liabiliti paling memalukan. Anak muda era cerdik akal sekarang, beranggapan: Pemuda Umno dan mafia tiada bezanya, kalau orang macam Jamal dilantik jadi ketua.

Hari demi hari, makin rancak nama demi nama mencalonkan diri merebut pelbagai jawatan dalam Umno. Namun, banyak nama yang sebenarnya sudah basi. Kita masih menantikan wajah-wajah segar dalam senarai pencalonan.

Otai-otai rejim feudal lama dijangka akan terus muncul satu demi satu. Pasti ramai yang akan terus menawarkan diri. Cuma, walaupun mereka popular dalam Umno, tetapi di peringkat nasional, wajah-wajah otai ini hanya bahan jenaka generasi muda.

Sebahagian besar kerana imej yang sudah tercalar. Banyak yang otai selama ini, berperanan sebagai kakasan politik yang kerjanya asyik membodek sahaja. Mereka survive selama ini, kerana berperanan sebagai kaki ampu presiden.

Ada calon yang imejnya bersih dan baik. Namun, kalau macam Mustapa Mohamed, dan dicalonkan untuk jawatan presiden atau timbalan, pun dianggap tidak relevan.

Umno tidak perlukan pemimpin yang baik dan bersih semata-mata. Pada waktu kronik, Umno memerlukan pemimpin yang ada perwatakan. Berkarismatik dan pragmatis dalam tindakan kepimpinan. Ini era tegar dan penuh sukar untuk Umno.

Mustapa dilihat lembut dan lembik. Begitu juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan. Dia juga dianggap tidak mencapai piawaian untuk jawatan timbalan presiden.

Imejnya memang bersih, tetapi tidak punya aura dan ketrampilan yang gah untuk menentang barisan kepimpinan PH.

Sama juga dengan Dr Asyraf. Orangnya bersih, tetapi terlalu lurus dan tiada perwatakan memacu Pemuda Umno untuk berdaya saing dan kompeten terutama sebagai pembangkang.

Dr Asyraf dan Azwan sepatutnya bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT). Kehadiran mereka akan menyegarkan korum MT yang memerlukan rejuvenilisasi.

Entahlah. Kalau semuanya tidak menarik, siapa calon-calon yang relevan? Hmmm… barangkali Umno sudah tiada siapa lagi yang berpotensi untuk mencalonkan diri.

Cuma, setakat sekarang, senarai calon yang ada hanyalah nama-nama tua. Otai, atau barangkali dinosaur. Malah, ada yang sudah boleh dianggap artifak purba.

Ketika satu demi satu nama sedang muncul menawarkan diri jadi calon, barulah kita nampak - Umno ketandusan wajah baharu yang segar dan ada aura. Rasanya, kalau beginilah trend senarai calon, Umno akhirnya jadi parti tua. Malah, lebih tua berbanding usianya.

Semua yang bertanding mengatakan, mereka ada sokongan akar umbi. Tetapi hakikatnya, nama-nama ini tidak memiliki tarikan di peringkat pengundi di luar parti.

Setakat ini, hanya tiga nama dianggap relevan dan berpotensi bagi senarai calon naib presiden. Ketua Pemuda, KhairyJamaluddin; bekas menteri kewangan 2, Johari Abdul Ghani dan bekas menteri besar Johor, Khaled Nordin.

Johari dan Khaled tumbang pada PRU lalu, tetapi dianggap relevan untuk mencuba nasib di peringkat nasional. Manakala Khairy dianggap kurang jantan kerana tidak berani mencari kerusi nombor satu atau dua.

Khairy sangat vokal dalam menuntut keterbukaan parti untuk membuka ruang kepada pertandingan peringkat tertinggi, tetapi akhirnya mengumumkan hanya akan bertanding merebut tiga kerusi naib presiden.

Ketua Pergerakan Wanita, Shahrizat Jalil dianggap bijak apabila mengumumkan keputusan berundur. Terpalit isu National Fidlot Corporation (NFC) serta dua kali tidak dicalonkan dalam PRU, adalah isyarat Shahrizat tidak lagi diperlukan Umno.

Manakala, Ketua Puteri, Mas Ermieyati dianggap patah hati dengan nasib buruk yang menimpa Umno, apabila tidak bertanding sebarang jawatan.

Keputusan yang dianggap sebagai refleksi, wujudnya golongan yang tidak berminat pada jawatan apabila parti tidak lagi berkuasa.

Umno kena berhati-hati. Bukan semua orang dilihat layak bertanding. Anak muda sebenarnya hari-hari ketawa percuma. Lucu melihat senarai nama-nama yang mencalonkan diri.

Setakat ini, ramai calon kelihatan seperti tidak sedar, zaman telah berubah dan mereka tidak lagi relevan.

Alahai Umno. Bilakah parti ini akan terjaga dan sedar hakikat semasa! – 9 Jun, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen