Dakwalah kalau ada bukti, kata Hishamudin pada DoJ


Nabihah Hamid

JABATAN Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) perlu buat pendakwaan terhadap pihak yang terbabit dalam pendedahannya berkaitan 1MDB, jika ada bukti kukuh, kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin yang juga naib presiden Umno membidas tindakan DoJ kerana hanya mengeluarkan kenyataan tanpa memberi ruang kepada pihak terbabit membela diri mereka.

“Saya nak nasihatkan kepada DoJ kalau mereka ada bukti yang kukuh, dakwalah. Jangan membuat kenyataan demi kenyataan tanpa mengambil tindakan.

“Bila dakwa, orang yang didakwa boleh ada ruang untuk bersihkan nama masing-masing,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Taklimat Buku Panduan Pilihan Raya ke-14 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata kredibiliti DoJ sendiri boleh dipertikaikan jika mereka hanya mendakwa melalui kenyataan tetapi tidak mengambil tindakan.

DoJ pada minggu lalu mengemukakan saman untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dikaitkan dengan wang 1MDB.

Tuntutan saman terbaru DoJ, yang ketiga sejak tahun lalu membawa jumlah keseluruhan wang diselewengkan daripada 1MDB sebanyak AS$4.5 bilion.

Dalam pemfailan saman sivil ketiga dan terbaharu bagi pelucutan hak, DoJ ingin menyita antara lain, kapal layar Equanimity bernilai AS$165 juta (RM704 juta) dimiliki Jho Low, dan hak filem komedi “Dumb and Dumber To” dihasilkan Red Granite, syarikat penerbitan dimiliki bersama oleh Riza Aziz, anak tiri Najib Razak.

DoJ juga mendakwa dalam tuntutan itu sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan oleh Low untuk membeli loket dan rantai bernilai merah jambu 22 karat untuk “Malaysian Official 1 wife”.

Pada tahun lalu, ketika kali pertama DoJ memfailkan saman hampir serupa, pihak berkuasa Malaysia menafikan sebarang jenayah berlaku dalam 1MDB.

Bagaimanapun, mahkamah di Singapura dan Switzerland mendenda dan memenjarakan pegawai bank yang terlibat dalam pergerakan wang dikatakan daripada 1MDB.

Semalam, Isteri perdana menteri Rosmah Mansor mengugut untuk menyaman mana-mana pihak yang melakukan “penerbitan atau posting palsu, berniat jahat” terhadapnya.

Hishammuddin berkata beliau yakin rakyat bijak menilai dalam menentukan isu melibatkan persepsi.

“MO1 adalah Najib hanyalah spekulasi. Mereka harus membuat dakwaan sebenar kerana ia hanya spekulasi.

“Rakyat akan menentukannya. Apa jua isu nasional akhirnya orang ramai nak tengok nasib mereka terbela di peringkat akar umbi lagi,” katanya. – 18 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen