Jepun pertimbang permohonan kredit Yen, kata PM


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya Shinzo Abe semasa pertemuan mereka yang berlangsung di Tokyo, Jepun. – Gambar AFP, 12 Jun, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata rakan sejawatnya Shinzo Abe akan meneliti permohonan kredit Yen daripada Malaysia untuk membantu menangani masalah kewangan negara.

Ia merupakan antara agenda utama perbincangan antara Dr Mahathir dengan Abe dalam dialog yang berlangsung hari ini.

“Saya menjelaskan masalah kewangan yang dihadapi Malaysia, dan untuk ini saya memohon kredit Yen daripada Jepun dan PM Abe akan mengkaji permohonan itu,” kata Dr Mahathir.

Bercakap kepada wartawan dalam sidang media bersama Abe di Tokyo hari ini, Dr Mahathir berkata bantuan itu akan membolehkan Malaysia menjadi pasaran yang baik bagi Jepun dan untuk pelaburan negara itu.

Dalam dialog tersebut, kedua-dua negara juga bersetuju untuk memastikan keselamatan perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan, katanya.

Dalam sidang media sama, Abe menyatakan penghargaan ke atas Dasar Pandang ke Timur yang dihidupkan semula oleh pentadbiran baharu bawah Dr Mahathir dan memberi jaminan untuk menyokong Malaysia

Jelasnya, Jepun akan membantu Malaysia mencapai pertumbuhan lebih pesat dan meningkatkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi demi kemakmuran kedua-dua negara.

“Dasar Pandang Ke Timur akan diberi nafas baharu dan dipertingkat untuk mendalamkan lagi pertukaran dalam pendidikan, meningkatkan sumber manusia dan pembangunan dan mempromosi pertukaran dalam sains dan teknologi,” kata Abe. – 12 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen