Gelandangan Kuala Lumpur harap masa depan lebih baik


Low Han Shaun

Ada antara mereka yang tidak mahu jadi beban kepada keluarga, yang mereka harapkan hanyalah tiada gangguan pihak berkuasa dan masyarakat memahami mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Jun, 2018.

MALAM tadi, Jalan Tunku Abdul Rahman di tengah-tengah Kuala Lumpur dipenuhi dengan kereta sorong bayi yang dipenuhi dengan pakaian dan keperluan harian lain.

Itu sahajalah barangan milik komuniti gelandangan.

Semalam, hampir 600 orang berkumpul untuk memilih pakaian terpakai yang diedarkan oleh Biro Kebajikan sayap Pemuda Bersatu, Armada.

“Kadang-kadang sejuk sangat, saya suka mereka beri kami pakaian,” kata Siti yang sudah hidup di jalanan dengan anak-anaknya sejak dua tahun lepas.

Program Jalinan Kasih Wilayah yang memberikan pakaian terpakai kepada gelandangan malam tadi adalah kali keenam dianjurkan tahun ini. Menurut penganjur, Mohd Nur Halis Safiq Shamsuri mereka mengharapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus menganjurkan program seumpama itu di masa hadapan.

“Kami juga buat majlis buka puasa tadi di mana kami beri nasi beriani kepada orang gelandangan,” katanya.

Nur Halis berkata gelandangan tidak seharusnya dilupakan dan berharap DBKL mencari jalan untuk membantu komuniti itu.

Program Jalinan Kasih Wilayah dianjurkan Pemuda Bersatu, Armada bagi mengedarkan pakaian terpakai kepada komuniti gelandangan di Kuala Lumpur. Hampir 1,000 pakaian diedarkan malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Jun, 2018.

Beberapa daripada mereka yang ditemui malam tadi meluahkan rasa optimis mereka yang dengan terbentuknya kerajaan baru, mereka akan kurang berdepan masalah dengan pihak berkuasa.

Shaliza Ahmad yang hidup di jalanan bersama suaminya, seorang autistik dan tiga anak mereka, mengatakan gelandangan selalunya dipinggirkan dan perlu pandai menjaga diri sendiri.

“Selalunya tiada polis atau pegawai DBKL, kadang kala ada sukarelawan yang datang dan beri makanan atau pakaian tapi mereka jadi takut dan mereka campak sahaja semua benda ke tanah, semua orang kena jaga diri masing-masing,” katanya.

Seorang lagi gelandangan, Chong Win Kook berharap pihak berkuasa memahami mereka, mengatakan terdapat ramai gelandangan di Kuala Lumpur yang kehilangan keluarga atau tidak mahu menjadi beban orang lain.

“Ramai antara kami yang ada saudara mara yang malu dengan kami, atau kami malu dengan diri sendiri dan tinggalkan mereka, ada juga antara kami yang sudah tak peduli, kami cuma nak hidup,” katanya.

“Kerana itu saya tinggalkan anak lelaki saya, saya tak mahu jadi beban untuknya dan keluarga, ekonomi pun tak berapa baik,” kata Chong.

Hampir 1,000 pakaian terpakai diedarkan malam tadi. – 10 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen