Malaysia separuh syurga


Hadri Shah

TANGGAL 9 Mei 2018, yang hari ini genap sebulan, tetap akan kekal abadi sebagai tarikh bersejarah buat Malaysia sehingga hujung hayat dunia. 

Apalagi mengenangkan sebuah keniscayaan sebelum ini bahawasanya regim Barisan Nasional (BN) tak akan dikalahkan pada setiap pilihan raya umum.

Tanpa revolusi di jalan raya, tanpa atmosfera ala “Arab Spring”, tanpa molotov koktel dan drama keganasan – rakyat Malaysia memilih menumbangkan keangkuhan BN dengan hanya sekeping kertas undi.

Pasca 9 Mei ini bertambah membahagiakan apabila kita diperlihatkan barisan menteri Kabinet baharu yang terbentuk dari manusia-manusia separuh malaikat – yang pernah dipenjara dan yang memenjara berdiri di atas saf yang sama. Cukup mesra, cukup harmoni dan cukup meyakinkan rakyat bahawa sinar Malaysia Baharu telah terang terpancar di langit. 

Selepas Umno-BN dikalahkan, kes penyelewengan skandal gergasi 1MDB pantas disiasat. Lalu, kita menyaksikan berpuluh beg berisi berjuta ringgit ditemui di premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri. Barang-barang mewah dirampas, Najib Razak dan Rosmah Mansor telah dipanggil ke SPRM untuk beri keterangan. Peguam negara yang baharu saja dilantik setelah mendapat perkenan Raja berkata akan memastikan kes 1MDB tidak akan terlepas dari prosiding penghakiman yang telus. Ini adalah kebahagiaan paling utama buat kita semua.

Kemudian kadar cukai GST dari 6% sudah berubah ke 0%. KWSP untuk suri rumah bakal dilaksana. Dan yang paling mengharukan, setakat hari ini, lebih RM50 juta didermakan rakyat Malaysia yang solid patriotismenya untuk mengambus hutang negara yang katanya berjumlah RM1 trilion. 

Segala kebahagian, kemanisan yang sedang dikecapi ini walau belum pun 100 hari kerajaan Pakatan Harapan memerintah, rakyat Malaysia nampaknya sudah mengecapi nikmat separuh syurga. 

Soalannya, adakah ini isyarat “selamat tinggal” kita kepada Dataran Merdeka - Dataran yang menyaksikan 20 tahun resistensi rakyat Malaysia terhadap keangkuhan kerajaan?

Apakah kita akan merindui keenakan “tear gas” dan kelazatan air kimia muntahan “water canon” sajian FRU? 

Apakah akan lenyapnya warkah-warkah tentang kepentingan melawan rasuah, ketirisan, salah guna kuasa dan korupsi kelas penguasa di dinding-dinding media sosial kita?

Apakah sudah tibanya pengakhiran anak-anak muda melupakan idealisme-idealisme yang selama ini menjadi fikrah dan pedoman hidup mereka?

Apakah Dewan Cina di Kuala Lumpur yang selama ini bergema dengan siri diskusi-diskusi politik bakal sunyi tanpa hujah balas panelis dan audiensnya?

Dan apakah ini sebuah pengakhiran paling romantis dari sebuah pemberontakan melawan kesombongan kerajaan terdahulu?

Walaupun sudah meninggal dunia 58 tahun lalu, pedoman yang ditinggalkan George Orwell melalui naskah satira politiknya Animal Farm yang diterbitkan pada 1945 masih kekal relevan untuk dianalisis.

Ia tentunya relevan buat masyarakat Malaysia yang baharu sahaja melihat keupayaan mereka menentukan elit politik mana yang lebih layak mentadbir negara.

Ringkasnya, Animal Farm bercerita mengenai sekumpulan binatang di kandang yang mahu merdeka daripada penguasaan manusia.

Usaha ini diketuai oleh beberapa ekor babi yang cerdik. Akhirnya kelas binatang ini bebas dari cengkaman manusia namun telah dikuasai pula oleh babi sebagai ketua kepada binatang. Ada tujuh rukun yang mesti dipatuhi setiap binatang di ladang. Lama kelamaan, babi, sebagai ketua binatang telah mula korup. Mereka akhirnya mencurangi prinsip yang menjadi garis panduan kehidupan binatang di ladang malah menjadi terlalu defensif dalam menjustifikasikan tindakan mereka yang jelas menyalahi rukun.

Animal Farm adalah contoh klasik bagaimana kuasa yang beredar dalam kelompok minoriti seringkali menghasilkan korupsi. Kelas binatang yang sebelumnya mencita-citakan pembebasan daripada kuasa manusia akhirnya kembali diperhambakan oleh pemimpin mereka sendiri iaitu babi yang memiliki kuasa setelah bebas dari cengkaman manusia.

Dalam kelunakan rakyat Malaysia melepas diri dari kekuasaan BN, masyarakat tidak boleh berlepas dari kemestian mereka menjadi lebih kritis, lebih terbuka dan lebih waras sebagai kuasa semak dan imbang tindak tanduk penguasa.

Kita mesti sedar kekuasaan yang kita berikan kepada kelas penguasa adalah kuasa mutlak, dalam erti kata lain kuasa yang dimiliki kerajaan adalah kuasa sentral (terpusat). Mereka berhak menentukan dasar, mereka berhak tidak memenuhi manifesto dan janji sebelum PRU, mereka juga berhak membuat keputusan-keputusan yang tidak mewakili kelompok majoriti (masyarakat kebanyakan).

Tentunya usaha memberdaya bagi membangunkan latar masyarakat baharu yang tumbuh dari pemikiran yang lebih rasional, kritis, matang tidak berlaku pada setiap kali pertukaran kerajaan. 

Kata Profesor Michael A Lebowitz dalam naskahnya berjudul “Sosialisme Sekarang” –  “masyarakat baru tak akan bisa langsung terbangun sempurna begitu sahaja. Yang pertama, masyarakat baru tersebut harus membangun dirinya di atas elemen-elemen masyarakat lama. Hanya ketika masyarakat baharu telah berdiri di atas fondasi-fondasinya sendiri, hanya ketika masyarakat baharu itu telah terbangun di atas premis-premis yang membentuk dirinya sendiri, barulah kita menyaksikan bahawa potensi masyarakat itu sesungguhnya telah ada sejak dari awal”.

Bagi Karl Marx pula, perkembangan masyarakat baharu dilihat sebagai suatu proses yang dalamnya ada perjuangan untuk membebaskan masyarakat dari bekas-bekas masyarakat lama (feudal, tidak kritis, suka mengampu, dll).

Jujurnya, masyarakat Malaysia telah mengambil jalan yang lebih berat lewat menukarkan kerajaan lama kepada kerajaan baharu. Hari ini adalah satu perjalanan paling penting. Bagi masyarakat yang lebih egaliter, mana mungkin sejarah 60 tahun lalu berulang lagi, lebih lagi dengan kerajaan yang katanya membawa harapan.

Kita mesti sedar – masyarakat tidak punya kuasa; masyarakat tidak memiliki wang.

Tetapi masyarakat punya integriti, punya maruah. Dan kerana berintegriti dan bermaruahlah, masyarakat merdeka tidak tunduk kepada sesiapa.

Ini adalah kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh seseorang yang dahulunya dipenjara kerana melawan penguasa, yang kini ke sana ke mari giat melawat istana.

Begitulah ironinya politik pasca PRU14. – 9 Jun, 2018.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen