Impian media bebas


Wan Hamidi Hamid

TIGA puluh tahun lalu hari ini saya melapor diri sebagai pemberita di akhbar Berita Harian. Bermulalah kerjaya saya sebagai seorang wartawan.

Sebelum itu, pada Januari 1988 saya mendapat tempat untuk menyertai skim latihan pra-kemasukan kewartawanan anjuran New Straits Times Press (NSTP) Berhad di Kuala Lumpur.

Saya bersama rakan-rakan pelatih merupakan peserta kumpulan pertama program tersebut. Hampir enam bulan kemudian saya lulus latihan dan temuduga untuk diterima masuk bekerja.  

Sepanjang latihan tersebut yang dikendalikan oleh pengarang berita Berita Harian pada masa itu, Nashruladin Abdul Rahman, hinggalah ke hari saya memulakan kerja pada 8 Jun 1988, negara ketika itu sedang dilanda krisis besar.

Pertikaian antara perdana menteri pada masa itu, Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Hakim Negara Salleh Abas mengejutkan seluruh negara. Ia berakhir dengan penubuhan sebuah tribunal yang memecat Salleh pada Ogos 1988.

Tiga puluh tahun lalu, sudah tentu saya tidak terlibat dalam membuat liputan isu yang besar ini. Seperti kebanyakan orang lain, saya hanya pembaca akhbar dan penonton TV.

Tugas-tugas awal saya sebagai pemberita junior adalah tugasan “penyampaian cek”, iaitu dihantar oleh pengarang berita untuk membuat liputan tentang sesebuah syarikat yang membawa replika cek gergasi untuk diberikan kepada sesebuah badan kebajikan bagi mendapat publisiti tentang betapa prihatinnya syarikat tersebut dalam soal kebajikan.

Selain itu, pemberita junior juga dihantar membuat liputan tentang timbalan-timbalan menteri dan setiausaha-setiausaha Parlimen, dan sesekali menteri yang portfolionya dianggap kurang kontroversi.

Namun, minat dan hasil kerja saya terhadap politik berjaya meyakinkan meja pengarang berita untuk diberi peluang membuat liputan Perhimpunan Agung Umno walaupun tidak sampai setahun bertugas. Pada masa itu, negara juga dilanda krisis politik selain krisis kehakiman.

Ia merupakan pengharaman Umno pada awal 1988 selepas perpecahan pada 1987 antara Team A pimpinan Dr Mahathir dengan Tema B Tengku Razaleigh Hamzah.

Kemudian Umno (Baru) milik Dr Mahathir diluluskan permohonan, dan Ku Li terpaksa menubuhkan parti baru Semangat 46 yang mengambil sempena nama penubuhan Umno asal pada 1946.

Sebagai pemberita junior pada usia awal 20-an, isu itu panas dan mengujakan buat saya. Walaupun bukan sebagai pemberita utama, ia menyerlahkan minat dan penulisan saya ke arah isu-isu politik. Sesekali terasa hebat menulis tentang politik.

Namun, realiti datang menempeleng mimpi. Ruang politik yang saya minati itu sebenarnya hanya terhad kepada berita-berita positif tentang Umno dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Tiada banyak ruang untuk pembangkang dan NGO progresif kecuali untuk dicari kesalahan mereka.

Ini adalah kerana media arus perdana, termasuk kumpulan NSTP, berpegang kepada prinsip “menyokong kerajaan semasa” – walaupun ia sebenarnya sekadar kata-kata untuk menyedapkan hati bagi menghalalkan amalan menyokong Umno-BN dan menghentam pembangkang.

Jiwa saya yang memang bias kepada pembangkang menerima hakikat pedih itu. Bekerja demi mencari makan, saya kekal “profesional” dalam tugas. Cuma dalam diam-diam, di luar waktu pejabat, sesekali saya membantu kawan-kawan di pihak pembangkang.

Perlembagaan Persekutuan menjamin hak berpersatuan, kebebasan bersuara dan yang berkaitan dengannya. Itu cara saya mengimbangi kesaksamaan dalam prinsip peribadi.

Nurani saya jelas. Saya tidak pernah rasa menyesal membantu rakan-rakan pembangkang dan NGO progresif sepanjang kerjaya saya bersama dengan media arus perdana. Semuanya dilakukan di luar waktu kerja atau semasa cuti.

Setelah lebih 20 tahun bersama media massa, saya memilih untuk berpihak dengan jelas. Selepas pilihan raya umum (PRU) 2008, saya bekerja dengan pihak pembangkang pada masa itu dalam pelbagai bidang, termasuk sebagai penasihat media dan publisiti.

Hasil usaha bersama rakan-rakan seperjuangan berjaya membuahkan hasil pada PRU 2013 walaupun kemenangan yang diharapkan belum tercapai.

Akhirnya, selepas PRU 2018 baru-baru ini, Malaysia mempunyai kerajaan baru. Dr Mahathir kembali sebagai perdana menteri.

Sebagai wartawan media arus perdana dahulu, saya akui tidak pernah selesa dengan corak pentadbiran beliau yang keras dan tidak mesra kebebasan.

Dalam pada itu ada perkara-perkara baik tentang dirinya seperti keterbukaan nilai-nilai agama, ketegasan suara Dunia Ketiga dan keyakinan diri yang kukuh.

Tiga puluh tahun lalu hari ini kita dapat melihat perbezaannya. Dr Mahathir 2.0 berbeza dengan watak 1.0-nya dahulu. Reformasi yang dibawanya sekarang bersifat positif. Setakat ini, media tidak dibungkam; setakat ini tiada halangan terhadap kebebasan media.

Pelbagai persoalan timbul di benak saya. Secara umumnya, apakah media sudah bebas? Apakah media ingin bebas? Apakah wartawan mampu keluar daripada cengkaman minda yang mengawal media selama ini? Apakah pemerintah, pembangkang dan masyarakat sivil rela menerima kritikan pedas dan tajam atas nama kebebasan media?

Secara peribadi pula, apakah saya perlu meneruskan usaha mempromosikan idea-idea demokrasi, kebebasan, dan solidariti melalui parti politik? Atau haruskah saya kembali ke dunia kewartawanan untuk menikmati kebebasan media seperti mana yang menjadi impian selama ini?

Segala persoalan ini perlu saya jawab sendiri, atau kadangkalanya lebih baik jika dapat mencari penyelesaiannya bersama teman-teman seperjuangan. Impian media bebas bukan angan-angan dalam vakum, ia harus wujud dalam ruang awam. – 8 Jun, 2018.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen