Dr Mahathir, Anwar berbuka puasa bersama


Zulkifli Sulong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjemput Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berbuka puasa bersama di kediamannya semalam.

KETIKA heboh mengenai tindakan sabotaj Anwar Ibrahim terhadap Dr Mahathir Mohamad, kedua-dua pemimpin dan isteri mereka berbuka puasa bersama malam tadi di rumah perdana menteri di The Mines, Seri Kembangan.

Ini adalah majlis peribadi atas permintaan Dr Mahathir yang menghantar jemputan kepada pemimpin PKR itu secara terus dan bukan kepada isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan timbalan perdana menteri.

Sumber parti berkata Dr Mahathir menyampaikan jemputan kepada Anwar pada Ahad. Anwar juga ada menyebut mengenai jemputan itu kepada The Malaysian Insight dalam temu bual pada Isnin.

Dalam wawancara itu, Anwar menolak beliau mempunyai sebarang masalah dengan Dr Mahathir namun tidak menolak usaha melaga-lagakan mereka berdua.

“Saya yakin, segala salah faham antara saya dengan Dr Mahathir akan selesai selepas kami bertemu beberapa kali selepas ini termasuk berbuka bersama,” kata Anwar sejak beliau masih lagi ditahan di Hospital Rehalibitasi Cheras ketika para penyokong saling mencurigai antara satu sama lain.

Kebelakangan ini turut timbul dakwaan yang tindakan beliau menghadap beberapa raja Melayu sebagai usaha mendapatkan sokongan mereka untuk menjadi perdana menteri lebih cepat daripada jangka masa dua tahun yang dipersetujui.

Dakwaan lain adalah Anwar dan rakan-rakannya dalam PKR sedang berbincang dengan pemimpin Barisan Nasional dan PAS bagi membentuk kerajaan baru pada Julai nanti.

“Ia dilakukan oleh pihak berkepentingan dan bimbang kalau-kalau mereka terpinggir apabila saya jadi PM nanti,” kata Anwar.

Anwar menolak dakwaan ini dengan berkata itu adalah kerja gila.

“Orang yang fikir idea ini adalah kerja gila dan memang mereka otak jahat saja yang boleh fikir macam ini.

“Kita bertungkus lumus, dipukul setengah mati, apa guna saya nak berpakat begitu rupa,” kata Anwar dalam temubual khas dengan The Malaysian Insight. – 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • tak ada isu pun. diorang kan dah berada dalam satu pakatan. eloklah dieratkan sillaturrahim tu. kalau sekarang kita lihat, banyak pulak yang nak laga-lagakan tun ngn anwar. harap diorang tak terpengaruh la. kita perlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan negara terus maju dan diuruskan oleh mereka yang berwibawa.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan