Khabar angin kerjasama PKR, BN dan PAS 'kerja gila’


Zulkifli Sulong

ANWAR Ibrahim menyifatkan dakwaan kononnya beliau dan PKR sedang berunding untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS bagi menubuhkan kerajaan Islam sebagai satu kerja gila.

“Orang yang fikir idea ini adalah kerja gila dan memang mereka yang otak jahat saja yang boleh fikir macam ini.

“Kita bertungkus lumus, dipukul setengah mati, apa guna saya nak berpakat begitu rupa,” kata Anwar dalam temubual khas dengan The Malaysian Insight.

Ada berita angin disebarkan kononnya PKR yang mempunyai 49 ahli Parlimen sedang berunding untuk bekerjasama dengan 79 ahli Parlimen BN dan PAS yang mempunyai 18 ahli Parlimen.

Mereka mendakwa, jika ketiga-tiga pihak bergabung mereka boleh membentuk kerajaan yang berteraskan Islam berbanding dengan Pakatan Harapan (PH) sekarang yang didominasi oleh ahli Parlimen bukan Melayu.

Anwar mengakui, beliau ada mendengar berita karut itu sedang dijaja tetapi itu semua adalah   kerja gila.

Katanya, kalau ia disebarkan oleh kalangan Umno, beliau tidak kesah, tetapi ada juga idea sebegini yang disebarkan oleh segelintir pendokong PH sendiri.

“Ada yang dakwa saya jumpa Raja-raja untuk membuat rancangan ini.

“Kalau saya nak buat pelan ini, saya jumpa ahli-ahli Parlimen bukan Raja-raja. Saya tidak perlu campur tangan Raja-raja,” kata Anwar yang sehingga kini sudah bertemu dengan tujuh Raja-raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong selepas dibebaskan dari penjara.

Sehubungan itu, Anwar menolak dengan keras dakwaan ini dan menyifatkan pihak yang menyebarkan cerita sebegini perosak PH.

“Saya menolak tuduhan ini dengan keras dan saya mengingatkan puak-puak ini, kita akan berdepan dengan mereka kerana mereka perosak PH.

“Kalau ada elemen dalaman yang terlibat, orang ini mesti didedahkan,” kata Anwar. – 5 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen