Azmin kata masih belum ada pengganti jawatan MB Selangor


Radzi Razak

Calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Azmin Ali masih belum diputuskan. Azmin akan meletak jawatan selaku menteri besar sebaik sahaja calon itu dimuktamadkan dan mendapat persetujuan Istana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2018.

MENTERI Besar Azmin Ali berkata, calon menteri besar seterusnya masih belum dimuktamadkan dan belum diserahkan kepada istana.

Menurut Azmin, pertemuan beliau dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini langsung tidak membincangkan pengganti beliau di Selangor. 

“Nama-nama itu akan dikemukakan dalam masa yang terdekat dan Tuanku (Sultan) telah berkenan untuk majlis angkat sumpah pada 19 Jun depan,” kata Azmin.

Beliau yang juga menteri Kabinet akan melepaskan jawatan menteri besar sebaik penggantinya mengangkat sumpah jawatan pada tarikh tersebut.

“Tak ada (bincang nama hari ini), perbincangan tumpu soal pembangunan dan pentadbiran kerajaan negeri,” kata beliau lagi kepada wartawan di pintu masuk Istana Bukit Kayangan, Shah Alam selepas pertemuan dua jam dengan baginda. 

Azmin berkata beliau menghadap Sultan kerana hari ini merupakan hari terakhir beliau mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri sebelum bertolak untuk menunaikan umrah esok. 

“Esok saya akan berlepas untuk menunaikan ibadat umrah, jadi oleh kerana hari ini mesyuarat yang terakhir Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang saya pengerusikan maka saya menghadap tuanku,” katanya.

Jelasnya pertemuan itu untuk memaklumkan kepada baginda mengenai keputusan, dasar dan pelaksanaan kerajaan negeri khususnya berhubung pembangunan untuk rakyat. 

Azmin pada 21 Mei lalu mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri hal ehwal ekonomi dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu pada 11 Mei, beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar untuk penggal kedua.

Menurut beberapa sumber, antara nama yang diketengahkan untuk menggantikan Azmin ialah Adun Seri Setia yang juga Naib Presiden PKR Prof Shaharuddin Badarudin. Dua lagi nama adalah Adun Sungai Tua (dulunya Batu Caves) Amiruddin Shari dan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad. 

Sementara itu Azmin turut menyatakan beliau tidak tahu tujuan sebenar Ketua Umum Anwar Ibrahim membuat pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong semalam. 

“Saya tak tahu butiran lanjut dan saya diberitahu beliau pulang (daripada bertemu Agong) pada jam 2.30 pagi ini. Saya akan bertemu beliau (Anwar) pada jam 3 petang ini dan bertanya butirannya,” katanya. – 5 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen