Azmin lepas jawatan MB Selangor 19 Jun ini 


Menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali dilantik ke dalam jemaah menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

MOHAMED AZMIN Ali akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor pada 19 Jun ini apabila penggantinya mengangkat sumpah jawatan pada hari yang sama, kata pegawai Sultan Selangor.

Menurut setiausaha sulit baginda, Mohamad Munir Bani, Sultan Selangor sudah memberi perkenan untuk istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan menteri besar Selangor dilangsungkan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Majlis tersebut akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

“Sehubungan dengan istiadat pelantikan yang bakal berlangsung ini, YAB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan turut melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor berkuatkuasa pada tarikh yang sama iaitu 19 Jun 2018,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut pengganti Azmin yang dilantik ke dalam jemaah menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Media sebelum ini melaporkan dua nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) telah dipersembahkan kepada Sultan Selangor untuk menggantikan Azmin sebagai menteri besar negeri itu.

Sumber kerajaan negeri mengesahkan nama Adun Seri Setia, Dr Shaharuddin Badarudin yang juga Naib Presiden PKR dan Adun Sungai Tua (dulunya Batu Caves), Amiruddin Shari yang juga exco negeri telahpun disampaikan kepada Sultan pada 19 Mei lepas.

Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor pada 11 Mei lepas, dua hari selepas menerajui Pakatan Harapan Selangor mempertahankan negeri itu dalam pilihan raya umum ke-14.

Beliau kemudian turut dinamakan sebagai anggota jemaah menteri dalam kabinet Dr Mahathir yang mengangkat sumpah pada 21 Mei lalu.– 30 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen