Krisis tenat sistem pendidikan nasional


ZF Zamir

MINGGU lalu saya menulis makalah yang panjang bertajuk Buka UiTM kepada bukan Melayu atau reformasi pendidikan total?. Ia menceritakan secara eksplisit masalah sistem pendidikan nasional daripada isu struktural, sistemik sehingga krisis filosofikal dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Malangnya, ramai yang tidak sedar dengan krisis dalam sistem pendidikan nasional ini. Tak dinafikan sekolah beroperasi seperti biasa, guru masih bekerja dan mendapat gaji, ratusan ribu pegawai pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian di Putrajaya masih bermesyuarat dengan karipap malah anak yang datang ke sekolah pula diberi RM100 setiap tahun oleh kerajaan sebelum ini.

Namun adakah semua rutin ini menambah baik sistem pendidikan atau memberi nilai tambah kepada setiap wang ringgit yang diperuntukkan kepada setiap anak-anak kita?

Realiti keciciran pendidikan

Berdasarkan laporan Unesco, sehingga 2016 seramai 32,563 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah tak bersekolah. Manakala seramai 196,159 orang berusia 12 tahun ke atas tak bersekolah. Kadar pendaftaran kasar untuk pendidikan prasekolah pula hanyalah 80.03% saja. Hampir 19.97% anak kecil berusia 6 tahun tidak ke tadika atau institusi prasekolah.

Walaupun pendaftaran pendidikan rendah sekitar 98.91%, pendaftaran pendidikan menengah pula jatuh teruk pada kadar 73.8%. Menurut laporan ini juga, hanya sekitar 91.99% anak saja yang berjaya bertahan di sekolah rendah dan meneruskan pendidikan di peringkat menengah.

Ini bermakna terdapat hampir 26.2% anak sekolah rendah yang tak mendaftar untuk menyambung pengajian di sekolah menengah.

Manakala menurut Statistik Kanak-kanak oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pula mencatatkan hanya 96.1% saja menamatkan pendidikan rendah dan beralih ke pendidikan menengah 2016 serta hanya 96.4% menamatkan pendidikan menengah rendah dan beralih ke menengah atas 2016.

Ini bermakna hampir 3.9% anak sekolah rendah tercicir dan tidak mendaftar di Tingkatan Satu serta hampir 3.6% anak Tingkatan 3 pula tercicir dan tidak menyambung pendidikan di Tingkatan 4.

Hala tuju tidak realistik

Malah kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran pada 2 Jun, 2018 mengenai penurunan hampir 30% jumlah pelajar ke institusi kemahiran dalam tempoh dua tahun lepas menggambarkan tiada arah tuju yang jelas dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Lebih merunsingkan, walaupun penetrasi pendidikan tertiari negara mencecah 44.12% pada 2016, bekas menteri pengajian tinggi Idris Jusoh pada 17 Ogos, 2017 melaporkan 54,103 graduan universiti masih menganggur selepas enam bulan tamat pengajian dengan jumlah terkumpul pengangguran nasional pada Julai 2017 adalah sekitar 519,000.

Hampir 23% graduan mahasiswa tidak mempunyai pekerjaan sebaik tamat pengajian setiap tahun serta hampir 30% penurunan jumlah pelajar ke institusi kemahiran termasuk program TVET hanya untuk dua tahun kebelakangan ini memperlihatkan trend tidak realistik dalam pelan pengajian tinggi negara.

Jurang yang tidak pernah diselesaikan

Tetapi di sebalik semua angka ini, masalah sebenar yang menyebabkan sistem pendidikan nasional sakit tenat serta berada dalam keadaan yang membimbangkan adalah kerana ia tidak berfungsi untuk merapatkan jurang.

Pendidikan di negara ini gagal untuk menyelesaikan isu jurang antara kelas. Hari ini golongan B40 masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan golongan M40. Jurang ekonomi yang sepatutnya diselesaikan oleh pendidikan telah menjadi semakin lebar akibat tiada pemerhatian yang lebih khusus terhadap fenomena sekolah serta institusi pendidikan swasta.

Kesannya, golongan T20 dan M40 berpusu-pusu menghantar anak mereka ke sekolah dan universiti swasta yang memiliki kualiti pendidikan yang lebih baik daripada institusi pendidikan kerajaan.

Sedangkan orang miskin yang tidak mempunyai peluang dibiarkan untuk menerima kualiti pendidikan yang rendah di sekolah-sekolah kerajaan.

Jurang ekonomi ini kemudiannya merebak dan membiak menjadi jurang antara kaum. Institusi pendidikan swasta yang sebahagian besarnya dimiliki oleh bangsa bukan Melayu akhirnya mencipta jurang ilmu antara bangsa Melayu dan bangsa bukan Melayu. Ini kemudiannya melebarkan jurang pendapatan antara kaum.

Jurang peluang dan Wawasan 2020

Jurang ekonomi yang dicipta oleh sistem pasaran bebas yang tidak dikawal oleh kerajaan ini kemudian menyebabkan golongan minoriti dan terpinggir iaitu orang miskin, golongan kelainan upaya (OKU) serta warga masyarakat di luar bandar dan Orang Asal kemudiannya menyebabkan jurang peluang juga semakin melebar untuk ketiga-tiga golongan yang paling banyak terkesan dengan dasar ini.

Sehingga hari ini iaitu hanya berbaki setahun saja lagi menjelang Wawasan 2020, sekolah di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman untuk Orang Asal di Semenanjung Malaysia masih lagi daif dan tidak setara dengan kualiti pembangunan fizikal berbanding sekolah di bandar.

Sumber elektrik, sumber air serta sumber ilmu seperti akses kepada Internet masih lagi menjadi masalah yang tidak mampu Kementerian Pendidikan selesaikan. Begitu juga kepada golongan OKU; sekolah yang inklusif untuk keperluan mereka masih sangat jauh bilangannya jika mahu dibandingkan dengan ratio jumlah mereka secara keseluruhannya.

Malah warga Orang Asal sendiri sebenarnya boleh dikira dengan jari berapa ramai anak Orang Asal ini yang akhirnya memiliki mobiliti sosial untuk keluar dan mencipta peluang yang lebih baik untuk meningkatkan kualiti hidup keluarga dan komuniti mereka di negara ini?

Birokrat mabuk dan sindrom penafian

Selain itu, jurang antara gender juga masih tidak diselesaikan oleh pendidikan. Jurang kemahiran juga masih terlalu besar walau institusi kemahiran tumbuh bagai cendawan setelah inisiatif TVET dilaksanakan. Bukan saja jurang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia tidak selesai melalui pendidikan, hari ini jurang antara negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang juga semakin besar dan menyakitkan.

Ini semua bukti betapa sistem pendidikan yang kita punyai hari ini belum benar-benar inklusif untuk semua anak bangsa Malaysia. Jika kita semua masih tidak sedar bahawa sistem pendidikan yang kita sedang hadapi hari ini walau dibungkus dengan segala macam jenis Pelan Pendidikan sehingga 2035 atau Kertas Kerja dan Laporan oleh Unit Penyampaian versi tahun 2020 sekalipun; kita sebenarnya sedang mabuk dibuai sindrom penafian.

Perkara pertama, sebelum kita akhirnya tiba-tiba mahu pandang ke Finland atau mempunyai kesedaran untuk mengubah semua ini adalah dengan mengakui sistem pendidikan yang kita punyai hari ini tidak berkualiti, sangat cacamerba serta tidak menyejahterakan anak murid serta para guru.

Hanya setelah mengakui Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita juga bermasalah selain isu struktural dan sistemik, kita akhirnya boleh mula melangkah ke hadapan dan bergerak maju. Hari ini hanya satu pedagogi saja yang dapat menyelamatkan kita daripada terus terjerumus dengan masalah yang tak berpenghujung ini iaitu Pedagogi Cinta.

Sehingga 2010, kita masih mempunyai sehingga 1,399,849 warga berumur 15 tahun ke atas dan buta huruf menurut Unesco. Hari ini jika kita silap sekali lagi, kesannya akan melibatkan satu hingga dua generasi seterusnya. – 5 Jun, 2018.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen