Buka UiTM kepada bukan Melayu atau reformasi pendidikan total?


ZF Zamir

BERCAKAP mengenai UiTM untuk dibuka kepada warga bukan Melayu adalah perkara paling sia-sia yang boleh kita lakukan hari ini.

Polemik ini polemik lama yang tidak mendatangkan manfaat.

Masyarakat masih belum bersedia untuk berbahas dengan beradab mengenainya. Anda bebas untuk tidak bersetuju dengan saya, tetapi ini realiti sebenar.

Ada perkara yang lebih produktif untuk masyarakat bincangkan hari ini berbanding polemik UiTM ini iaitu kualiti pendidikan yang rakyat terima daripada kerajaan. Ini perkara yang lebih serius.

Sejak 5 tahun yang lalu, kemasukan pelajar bukan Melayu ke Sekolah Kebangsaan (SK) semakin berkurang dari 6% kepada 4%. Ini bermakna sekitar 96% murid di Sekolah Kebangsaan hari ini adalah pelajar Melayu.

Manakala jumlah kemasukan murid bukan Cina ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pula meningkat dalam tempoh 10 tahun yang lalu dari 12% kepada 18%. Ini bermakna SJKC lebih majmuk dari Sekolah Kebangsaan.

Apakah yang sedang berlaku? Biar saya jelaskan dalam bahasa yang paling mudah.

Kualiti pendidikan yang semakin menurun

Hari ini, Sekolah Kebangsaan  bukan lagi pilihan ibu bapa dan rakyat. Golongan pertengahan dan mereka yang mempunyai wang sanggup menghantar anak sama ada bersekolah swasta atau akhirnya mereka akan memilih SJKC.

Trend ini sedang meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan. Mungkin dalam masa 10 tahun lagi, SJKC adalah pilihan utama ibu bapa di negara ini.

Apa sebabnya? Mudah.

Sekolah Kebangsaan serta sistem pendidikan nasional kita sedang sakit dan berdepan dengan krisis yang sangat menakutkan. Ia kombinasi masalah struktural dan sistemik yang berpunca dari budaya ketakutan atau ‘culture of fear’ yang disemai kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno selama 60 tahun sebelum ini.

Contohnya, isu beban guru yang dikaji sejak tahun 1980-an tidak pernah diselesaikan sehingga hari ini. Kajian Kementerian Pendidikan terhadap beban tugas guru pada 2015 mendapati purata masa tugas guru dalam seminggu adalah konsisten iaitu antara 56  jam hingga 66 jam seminggu.

Ini bermakna jika guru mengajar 5 hari seminggu, mereka bekerja hampir 13 jam setiap hari. Bagaimanapun, peruntukan masa untuk mengajar hanyalah antara 2.4 jam hingga 2.9 jam saja sehari. Hampir 76% waktu mereka di sekolah setiap hari dibebankan dengan kerja-kerja perkeranian seperti mengisi data online, dan bukannya mengajar.

Selain isu struktural seperti beban kerja, guru juga dibebani masalah sistemik berkait dengan silibus dan dasar yang kecamuk lagi huru hara akibat campur tangan politik sebelum ini. Program Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diperkenal secara tergesa-gesa gagal diurus sehingga menyebabkan guru tidak memahami mekanismenya.

Hasilnya, aras kesukaran diubah sesuka hati. Misalnya, aras kesukaran Tahun 3 kini diubah kepada Tahun 1 menyebabkan semakin ramai ibu bapa menghantar anak sekecil 7 tahun ke kelas tambahan selepas sekolah kerana berdepan dengan silibus yang terlalu sukar di sekolah.

Malah guru sendiri terpinga-pinga dengan perubahan seperti ini. Mereka tidak dilengkapkan dengan pedagogi yang sesuai untuk mengajar aras tinggi kepada anak sekecil 7 tahun. Anak kecil ini dipaksa menjawab soalan pemahaman untuk Bahasa Melayu seperti Tahun 3 dan mencongak dalam subjek Matematik.

Sekolah bukan lagi tempat yang menyeronokkan

Hasilnya, bukan sahaja pusat tuisyen semakin bercambah, jurang antara anak yang berkemampuan untuk ke tuisyen dan kelas tambahan semakin melebar dengan anak miskin, anak yatim serta keluarga yang tidak mampu membayar yuran kelas tambahan.

Sekolah tidak lagi jadi tempat yang menyeronokkan untuk anak-anak. Ini semua berlaku setelah hampir tujuh tahun pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dilaksanakan. Setelah hampir tujuh tahun PBS dijalankan, pusat tusyen masih tidak terjejas dan jurang semakin melebar antara anak orang kaya dan anak orang miskin. Malah dalam masa tujuh tahun ini juga guru sendiri masih belum mahir melaksanakan PBS.

Pada masa yang sama, guru juga berdepan dengan 998 masalah teknikal yang lain. Misalnya ada sesetengah sekolah yang membenarkan guru menulis Rancangan Pengajaran Harian (RPH) menggunakan aplikasi dalam talian tetapi di sesetengah tempat yang lain pula masih mewajibkan guru menulis tangan seperti guru pada tahun 1970-an. Aplikasi Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) juga khabarnya masih sukar diakses sehingga menyebabkan guru terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi semata-mata mahu memasukkan markah.

Kemuncaknya, semua kezaliman ke atas guru-guru ini tidak dilaporkan kepada pihak atasan. Budaya bodek dan ampu menteri hasil didikan kerajaan sebelum ini menyebabkan semua laporan yang baik-baik sahaja naik kepada menteri. Lihat saja laporan oleh Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) setiap tahun yang jauh bezanya dengan laporan World Bank Group pada Februari 2018 mengenai masalah kronik dalam program Linus (Literacy & Numeracy Screening).

Laporan palsu dan budaya mengampu

Sekolah akhirnya bukan saja tidak lagi menyeronokkan untuk anak-anak. Sekolah juga tempat yang menakutkan dalam kalangan guru. Guru dipaksa menjalankan kerja-kerja dokumentasi untuk memenuhkan nafsu pihak atasan yang berusaha sepenuh hati mereka untuk menulis laporan yang baik-baik sahaja.

Hari ini, ada guru yang menjalankan program Linus tahu berapa ramai anak murid mereka yang gagal Linus tetapi memalsukan laporan semata-mata kerana diminta oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang tidak berani untuk membentangkan laporan sebenar kepada menteri.

Seluruh sistem birokrat Kementerian Pendidikan dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), PPD sehingga sekolah akhirnya rosak teruk akibat budaya takut dan budaya mengampu ini. Tiada pegawai yang sanggup bercakap benar serta melaporkan kepada pihak kementerian mengenai tatakelola profesionalisme atau infrastruktur sekolah mereka.

Misalnya tiada guru yang berani melaporkan mengenai kerosakan makmal komputer di seluruh negara yang dikhabarkan ketika ini tidak lagi berfungsi sebagai makmal komputer. Tiada pegawai yang bertanya mengapa sekolah mereka tidak lagi dibekalkan dengan stok baharu buku-buku untuk perpustakaan. Tiada guru dari Sabah atau Sarawak yang sanggup bertanya kepada menteri mengapa sekolah mereka masih tidak memiliki bekalan elektrik 24 jam atau bekalan air bersih walau negara berbaki dua tahun sahaja lagi untuk Wawasan 2020.

Mentaliti kolektif yang korup

Di sebalik isu struktural dan sistemik ini, sistem pendidikan nasional juga berdepan cabaran falsafah pendidikan yang terlalu tradisional sehingga membantukan inovasi latihan perguruan di 27 institusi pendidikan guru di seluruh negara. 

Itu sebabnya, seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, perlu ada dinamika untuk membaca semula falsafah pendidikan negara dalam bentuk yang lebih inklusif sesuai dengan semangat zamannya.

Falsafah pendidikan yang tidak dinamik dengan semangat zaman ini membina jurang yang lebih dahsyat kepada golongan kurang upaya, warga luar bandar serta orang asal – tiga golongan yang paling teruk terjejas.

Korupsi dalam sistem pendidikan nasional bukan saja merebak dalam 1,001 proses pembinaan makmal komputer – dalam kes di Sabah dan Sarawak, ada makmal komputer masih belum siap selepas 16 tahun, tender pengedaran kertas, lesen projek susu atau portal SAPS yang maha lembab itu. Ia juga merebak dalam pemikiran warga birokrat yang tidak pernah memikirkan mengenai anak-anak di sekolah, suka mengampu serta suka membuat laporan palsu untuk menteri baca.

Menteri Pendidikan yang baharu, Dr Maszlee Malik mempunyai tugas sukar yang hampir mustahil untuk memimpin birokrat ini terutama untuk mengubah cara berfikir lebih dari 400,000 guru di sekolah.

Reformasi pendidikan yang total harus merangkumi tiga perkara utama iaitu:

* meningkatkan kualiti pendidikan,

*mengurangkan jurang antara anak murid, serta

*meningkatkan tahap pendidikan tertiari dalam kalangan masyarakat.

Inilah beban sebenar Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah bahu menteri pendidikan yang baharu mengangkat sumpah minggu lalu.

Jadi saya fikir, perkara paling produktif yang rakyat Malaysia boleh bicarakan hari ini adalah untuk mengajak Dr Maszlee mengembalikan tujuan pendidikan iaitu untuk memanusiakan semula manusia.

Pendidikan bukan perniagaan. Pendidikan bukan lubuk buat wang. Pendidikan seharusnya menyeronokkan. Falsafah pendidikan negara harus disemak dan dibuat bacaan semula agar sesuai dengan semangat zamannya. Pada masa yang sama, pendidikan juga haruslah berupaya menghapuskan kemiskinan.

Pendidikan seharusnya menjadi alat perpaduan. Pendidikan bukan sejenis alat pecah dan perintah yang boleh kita gunakan untuk membina kelas antara kaum. Kita semua harus jelas dengan apa yang kita semua mahukan.

Saya mahukan reformasi pendidikan total. Ia harapan yang tinggi. Ia suatu utopia.

Tetapi saya pasti jika kita semua bekerjasama tanpa mengira kaum, kita boleh melakukannya.

Itu sebabnya saya tidak fikir pada ketika ini yang paling utama untuk dibincangkan adalah wajar atau tidak membuka UiTM kepada warga bukan Melayu. Jika kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh UiTM begitu rendah, apalah maknanya kepada warga bukan Melayu nanti? – 31 Mei, 2018.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen