Umno akan terus bernyawa, jika…..


Tramizi Hussin

MALAYSIA 2.0 masih akan ada Umno. Itu kenyataan perit yang perlu diterima banyak pihak yang tidak sabar-sabar mahukan garis sempadan kaum-agama di Malaysia terpadam selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei lalu.

Realitinya, tarikan politik perkauman akan lama lagi bertapak di Malaysia. Sekurang-kurangnya untuk beberapa dekad lagi.

Sebabnya mudah: Selagi mana rakyat Malaysia masih dalam persekitaran “pecah perintah” selagi itulah kita akan gagal mengenal persamaan dan mendekatkan perbezaan antara kaum. 

Selagi mana sistem pendidikan dan budaya kita masih belum cukup ampuh menjunjung kesejagatan kemanusiaan, selagi itulah sentimen cetek kaum-agama akan terus dimainkan. 

Selagi mana sosio ekonomi kita bermain atas landasan kaum, selagi itulah kita akan gagal menyedari yang kemiskinan dan kepapaan bukan milik satu kaum sahaja. 

Selagi pencucian satu generasi yang tidak melihat beza kulit, agama dan nama dalam kad pengenalan tidak berlaku, selagi itulah kelompok yang percaya mereka “berhak kerana mereka tuan tanah” akan terus wujud. 

Itu cabaran Malaysia Baharu, pendek kata lama lagi hendak jadi “baharu” sepenuhnya.

Pemilihan Umno yang akan berlangsung hujung bulan ini akan jadi penentu hayatnya. Adakah parti Melayu yang punya sejarah panjang ini boleh bangkit membawa perubahan atau ia akan terus tenggelam ditelan skandal dan korupsi?

Pertama: Jenama Umno – sekurang-kurangnya bagi mereka yang tidak menyokong Umno, atau mereka yang mengundi PH kerana bencikan si Najib Razak korup – adalah parti ini korupsinya berakar umbi. Proses pencucian yang berlaku dalam pemilihan kali ini akan menentukan masa depan dan hala tuju Umno.

Ahli Umno perlu berbincang, bersepakat dan memilih pemimpin yang mereka percaya bersih daripada korupsi dan subahat pentadbiran terdahulu. Ringkasnya, nama besar yang menjadi “inner circle” Najib perlu disingkirkan. Tepuk dada, anda tahu siapa mereka.

Kedua: Politik kaum berencah baru. Umno tidak lagi boleh menjunjung soal ketuanan Melayu. Idea ini sudah lapuk, dan kalau dimainkan ia boleh mencetuskan huru hara yang besar. Perjuangan Melayu dalam Umno (walau apa pun tafsirannya) perlu berubah 180 darjah. Lagipun, selama berdekad lamanya idea ini hanyalah topeng kepada korupsi pemimpin. Sentimen perkauman perlu diubah supaya tidak jadi pelampau.

Kaedah dan bagaimana politik yang menjaga kepentingan kaum dalam prinsip politik perkongsian kuasa yang selama ini jadi resepi kejayaan Umno perlu dinilai, ditafsir dan diubah suai. Akan ada orang kata, ini tidak lagi relevan dalam Malaysia Baharu. Tetapi, sekali jenguk dalam media sosial atau di mana-mana sahaja, kita akan terserempak dengan mereka yang masih menjunjung “semangat ketuanan Melayu” ini.

Tugas Umno untuk menghimpunkan mereka ini, memberikan naratif baru kepentingan kaum dalam acuan Malaysia Baharu. Jika dibiarkan atau diteruskan dengan konsep lama, Umno akan jadi parti radikal perkauman. Sesuatu yang tidak akan bertahan dalam perang menentang kemanusiaan. Kebaikan akan sentiasa menang, cepat atau lambat sahaja.

Ketiga: Belajar jadi pembangkang yang hebat. Umno, agaknya terkesima dengan kekalahan pilihan raya nampaknya sekarang jadi pembangkang yang suam-suam kuku. Yang hujahnya tak berisi, logiknya tahap tak berapa tinggi. Ini belum lagi masuk Dewan Rakyat. Kalau amalan ini berterusan, Umno akan jadi pak badut dalam dewan. Jadi pembangkang – yang tak punya sumber, tak banyak wang, tak banyak sokongan – bukan mudah. Umno perlu mengubah cara kerja akar umbi, perlu transformasi cara pengurusan maklumat, perlu merangka kembali strategi menyerang.

Rakyat sedang memerhati. Demokrasi negara perlukan pembangkang yang kuat, dan hanya Umno (serta Barisan Nasional) yang ada kemampuan kerana sejarah, pengalaman, sistem dan mekanisme yang sudah mereka miliki berdekad lamanya.

Bolehkah Umno mencuci dosa, bertaubat dan kembali melawan? Jika gagal, bye-bye. – 4 Jun, 2018.

* Tramizi Hussin adalah penyunting berita The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen