MENTERI Dalam Negeri Muhyiddin Yassin meminta rakyat agar bersabar dan memberikan sedikit masa kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan janji dalam manifesto mereka.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, PH mengambil alih pentadbiran dalam keadaan negara yang tidak sihat sekaligus menyukarkannya untuk melaksanakan sebahagian ikrar manifesto dalam tempoh 100 hari seperti yang dijanjikan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Beban tugas kerajaan hari ini amat besar. Kita perlu mengembalikan keyakinan masyarakat dunia. Ini memerlukan komitmen besar.
“Saya harap masyarakat Malaysia sabar sedikit. Mungkin banyak yang kita janjikan dalam manifesto dan masyarakat harap tindakan dilakukan dalam tempoh segera.
“Pastinya boleh dilakukan kalau ia mudah tapi kita ambil alih pentadbiran dalam keadaan tidak sihat. Kita perlu bersabar sedikit,” katanya, ketika berucap di majlis berbuka puasa di Masjid Saidina Hamzah di Taman Batu Muda di ibu negara, hari ini.
Presiden Bersatu itu berkata, cabaran kerajaan hari ini adalah untuk menjadikan Malaysia negara yang gah di mata dunia seperti suatu ketika dahulu.
“Kita tahu cabaran kita amat besar. Negara kita harus berkembang dan menjadi contoh. Malaysia pernah menjadi contoh dan ikutan umat Islam di negara lain.
“Cuma beberapa tahun kemudiannya ada isu dan masalah yang merundum akibat penyalahgunaan kuasa dan perlakuan mungkar, sedikit sebanyak memberi kesan dan jejaskan imej Malaysia, bukan sahaja dari negara Islam tapi seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan pembentukan jawatankuasa khas bagi meneliti akta-akta di bawah kementeriannya yang tidak adil buat rakyat.
Jawatankuasa itu katanya akan meneliti semula akta seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, hukuman gantung sampai mati, Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).
“Kita akan beri perhatian bidang undang-undang yang kerap dibangkikan masyarakat awam yang dikatakan berlaku penindasan untuk menentukan dalam perlaksanaan undang-undang, rakyat tidak merasakan ia bukan dibuat untuk tujuan politik, sebab perbezaan fahaman,” katanya.
Jelas beliau, semakan semula itu dibuat semata-mata atas alasan hak asasi manusia, dan bukan sebab-sebab lain.
Tambahnya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan ketua setiausaha kementerian.
Menteri kewangan Lim Guan Eng sebelum ini berkata kerajaan Pakatan tidak akan mencapai semua janji 100 harinya, berikutan situasi kewangan negara sekarang.
Menurutnya kerajaan akan mampu memenuhi janji 100 hari apabila kewangan negara berada dalam keadaan yang lebih baik.
“Sebagaimana yang kita mahu melaksanakan semua 100 hari janji, kerajaan ini bertanggungjawab secara fiskal dan tidak akan mengikuti contoh kerajaan sebelum ini mengenai fiskal yang hampir pasti akan membawa negara ke arah kebankrapan,” kata Lim pada sidang media yang diadakan di kementeriannya baru-baru ini.
“Kerajaan terus komited dalam melaksanakan janji manifesto kami apabila situasi kewangan mengizinkan.”
Perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini juga berkata, kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) menyulitkan usaha Pakatan Harapan menunaikan janji pilihan raya dalam tempoh 100 hari.
Malah katanya kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah lebih teruk daripada yang disangkakan sebelum ini,
“Kita mencapai kemenangan yang membawa bebanan yang besar. Sebelum itu kita tidak tahu setakat mana kerosakan itu,” katanya semasa berucap di majlis berbuka puasa bersama rakyat Langkawi di Masjid Al-Hana di Langkawi, baru-baru ini.– 3 Jun, 2018.
Komen