0% GST dan kereta baru


Low Han Shaun Looi Sue-Chern

RAKYAT Malaysia sudah mula menyerbu ruang pamer kereta kerana mahu menjimatkan ribuan ringgit susulan kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang ditetapkan hari ini.

Beberapa pengedar kereta mengatakan terdapat banyak pertanyaan daripada pelanggan sejak pengumuman 0% GST oleh kerajaan Pakatan Harapan yang baru berkuasa itu.

“Ramai yang datang bertanya dan tempeh.

“Mereka tunggu GST jadi sifar untuk beli kereta baru,” kata Cheah Yen Nee, seorang pengurus jualan di Petaling Jaya.

“Kami dah beri rebat 6% kepada mereka tetapi syarikat insuran belum. Jadi mereka tunggu.”

Cheah menjangkakan pelanggan akan mengambil kesempatan berjimat ribuaan ringgi membeli kereta baru sehingga 31 Ogos.

Tempoh tiga bulan “cuti cukai” ini berlaku kerana Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanya akan diperkenalkan pada 1 September.

Cheah berkata dengan GST, harga sebuah Toyota Camry lebih mahal sebanyak RM8,000 dan jika SST ditetapkan pada 10%, beza harga kereta model sama adalah RM12,000.

“Sudah tentu orang akan ambil peluang ini. Bezanya ribuan ringgit,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Cheah berkata kerja perakaunan tanpa GST juga akan lebih mudah.

“Bagi kami ia soal auto debit. Bila kita jual kereta, kami keluarkan invois untuk bayar GST setiap bulan.

“Kami tak perlu buat sebelum ini dengan SST. Kerajaan laksanakan cukai dan tahu berapa banyak perlu caj.

“Jadi bagi saya, pengiraan lebih mudah tanpa GST.”

Veena Soh, seorang lagi pengurus jualan di kedai kereta lain mengatakan pelanggannya keliru tentang kadar sifat GST, memikirkan mereka tidak lagi akan dapat diskaun.

“Tetapi orang hanya mahu tahu jika harga jatuh. Ini senario dialami oleh ramai orang.”

Jualan kereta seluruh negara dijangka meningkat susulan rakyat mengambil kesempatan membeli kereta dengan harga lebih murah bermula hari ini sehingga 31 Ogos kerana GST dan SST tidak dilaksanakan. – Gambar EPA, 1 Jun, 2018.

Di sebuah kedai kereta lagi, penasihat jualan Ibrahim Razip berkata diskaun RM600 yang ditawarkan mereka sudah berjaya menarik ramai pelanggan.

Jualan kereta import terpakai juga boleh meningkat bermula hari ini.

Seorang pengedar kereta di Auto City, Juru, Pulau Pinang yang menjual kereta mewah terpakai dari Jepun sudah meletakkan iklan rebat bernilai RM5,000 hingga RM50,000 bergantung kepada jenis model dan duti import.

Jason Tan, 40, seorang jurujual di kedai Seberang Prai, Pulau Pinang menjelaskan yang walaupun jualan kereta mungkin akan meningkat bulan ini, perniagaan pengedar kereta terpakai bergantung kepada jumlah stok yang ada.

“Kami terima banyak panggilan. Orang ramai berminat kerana mereka boleh jimat antara RM7,000 hingga RM8,000. Mereka mahu beli dan daftar kereta bermula 1 Jun.

“Tetapi perniagaan kami tak sama dengan kedai kereta baru yang datang dari kilang.

“Perniagaan kami bergantung sama ada kami ada kereta atau tidak. Jika kami ada bekalan, maka kami akan alami peningkatan jualan,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan mengatakan GST membentuk 20% jumlah keseluruhan pendapatan negara tahun lepas.

Sebelum SST dimansuhkan, ia hanya membentuk 7.8% pendapatan kerajaan pada 2014. – 1 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen