Status quo untuk kepimpinan DAP Kedah dan Perak


DAP Pulau Pinang akan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu dengan mesyuarat dan pemilihan akan diadakan pada 22 September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September 2024.

KEPIMPINAN DAP Kedah dan Perak kekal seperti biasa apabila kepimpinan yang sama dipilih semula oleh cawangan masing-masing pada mesyuarat agung tahunan yang diadakan hujung minggu lalu.

Di Kedah, bekas Adun Derga Tan Kok Yeow dipilih semula untuk penggal ketiga sebagai pengerusi DAP negeri.

Tan yang merupakan seorang peguam juga pemimpin DAP pertama yang berkhidmat sebagai ahli majlis eksekutif negeri apabila parti tersebut menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang diketuai Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020.

Tan disokong oleh usahawan Mad Ganu Ismail, manakala Adun Kota Darul Aman Teh Swee Leong dilantik sebagai setiausaha gerakan tersebut.

Di Perak, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengukuhkan kedudukannya di negeri tersebut dengan mengekalkan jawatan pengerusi.

Nga kini merupakan pemimpin DAP yang tidak dipertikaikan di Perak setelah berjaya menangkis sebarang cabaran.

Veteran seperti Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri M. Kulasegaran dan peguam Thomas Su memilih untuk tidak bertanding.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook yang juga merupakan Menteri Pengangkutan merasmikan kedua-dua acara tersebut. Bekas Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dilantik sebagai timbalan Nga.

Pulau Pinang yang dijangka memperkenalkan barisan kepimpinan baharu akan mengadakan mesyuarat dan pemilihan pada 22 September. – 9 September 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen