Jangan buat spekulasi, serah pada polis, kata MB Perak


Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata sebarang spekulasi akan menganggu siasatan polis sahaja, malah boleh mengundang perkara yang menjejaskan keharmonian antara satu sama lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2024.

MENTERI Besar Perak Saarani Mohamad mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden kediaman Ahli Palimen Beruas Ngeh Koo Ham dibaling dengan molotov cocktail awal pagi tadi, sebaliknya ia perlu diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

Beliau berkata ini kerana sebarang spekulasi bukan hanya akan menganggu siasatan polis sahaja, malah boleh mengundang perkara yang menjejaskan keharmonian antara satu sama lain.

“Sebagai pengerusi jawatankuasa keselamatan, saya mengharapkan tidak berlaku sebarang masalah, sama ada perbuatan khianat atau balas dendam. Kalau itu berlaku, ia akan menjadikan negeri kita tidak aman.

“Suka juga saya ingatkan, kita semua perlu bertindak waras dan jangan melakukan apa-apa perbuatan di luar perikemanusiaan ataupun melanggar undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berucap sempena Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2024 di Hotel Casuarina@Meru di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis sedang giat mengesan individu yang disyaki melontar molotov cocktail di kediaman Ngeh awal pagi tadi, sehingga menyebabkan sebuah kenderaan terbakar.

Sementara itu, Saarani berkata insiden itu juga seharusnya dijadikan iktibar selain mana-mana individu yang melakukan perkara itu seharusnya dikenakan tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.

“Boleh dikatakan terlalu awal untuk dikatakan siapa yang buat benda itu cuma apa yang pasti pesalah harus dikenakan tindakan atau hukuman yang sewajarnya,” katanya. – Bernama, 10 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen