Teresa Kok beri kenyataan kepada polis esok berhubung isu pensijilan halal


Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok akan memberi kenyataan kepada polis esok mengenai kenyataannya berhubung isu pensijilan halal, lapor Bernama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2024.

AHLI Parlimen Seputeh Teresa Kok akan memberi kenyataan kepada polis esok mengenai kenyataannya berhubung isu pensijilan halal, lapor Bernama.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kenyataan beliau akan dirakam pada pukul 10 pagi di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Beliau berkata beberapa saksi lain termasuk wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga akan dipanggil untuk membantu dalam siasatan kes tersebut.

“Beliau (Kok) akan dipanggil untuk memberi kenyataan, dan beberapa saksi lain yang akan ditentukan kemudian juga akan dipanggil,” katanya yang dipetik.

Semalam Razarudin berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan isu raja, agama dan kaum (3R).

Jakim sebelum ini dilaporkan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan pensijilan halal wajib bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol.

Namun Kok kemudiannya dilaporkan berkata menjadikan pensijilan halal wajib untuk restoran dan syarikat makanan tersebut berpotensi meningkatkan beban kepada perniagaan, termasuk ribuan pengusaha restoran Melayu sambil menambah ia akan memalukan negara. – 9 September, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen