Jakim siasat dakwaan reka bentuk kasut kalimah 'Allah'


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na'im Mokhtar menggesa semua pihak terlibat dengan isu kalimah Allah pada kasut memberi penjelasan kepada Jakim. – Gambar Facebook, 7 April, 2024.

JABATAN Kemajuan Islam (Jakim) akan menjalankan siasatan berhubung kontroversi terbaru membabitkan jenama kasut tempatan yang didakwa memaparkan kalimah “Allah” pada tapaknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar menggesa semua pihak yang terlibat memberi penjelasan kepada Jakim dengan menekankan keseriusan isu itu.

“Saya mengarahkan Jakim memanggil pihak berkenaan pada Isnin (8 April) untuk memberikan penjelasan lanjut. Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan digalakkan untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyeru semua pihak bertenang dan menggesa orang ramai membenarkan Jakim serta pihak berkuasa lain menjalankan siasatan menyeluruh.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menuntut penjelasan daripada syarikat kasut tempatan berhubung reka bentuk yang dikatakan itu.

Akmal berkata penting untuk mengesahkan fakta sebelum mengambil tindakan dan menggesa syarikat itu menangani isu berkenaan dengan segera.

Kontroversi ini susulan skandal stoking dijual di KK Mart baru-baru ini yang tertulis kalimah “Allah” membawa kepada bantahan orang ramai dan seruan boikot.

Ini menyebabkan serangan ke atas tiga cawangan KK Mart. – 7 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen