Selamat untuk lawat KL, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Kuala Lumpur masih merupakan tempat yang selamat untuk dikunjungi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2024.

KUALA Lumpur masih merupakan tempat yang selamat untuk dikunjungi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata pelancong tidak perlu bimbang berikutan tragedi lubang benam yang berlaku di Jalan Masjid India baru-baru ini.

“Tak ada, tak ada. Setakat ini, tiada perkara sedemikian,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang apabila ditanya sama ada pelancong menyuarakan kebimbangan untuk melawat ibu negara berikutan kemunculan lubang benam baru-baru ini.

Anwar juga berkata kajian teknikal sedang dilakukan berikutan kejadian lubang benam tersebut.

Beliau berkata tiada masalah ketika beliau melalui kawasan itu.

“Hanya kawasan yang perlu diperkuatkan, kami akan lakukan segera.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memantau situasi dengan teliti setiap hari,” tambahnya seperti yang dilaporkan New Straits Times.

Hari ini masuk hari kelapan sejak seorang wanita terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lalu.

Operasi mencari masih diteruskan. – 30 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen