MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mula menjalankan pemeriksaan ke atas pokok-pokok tua atau berisiko tinggi di bandar raya ini susulan kes-kes pokok tumbang akibat hujan khususnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung berkata beliau dimaklumkan MBPJ sedang menjalankan pemeriksaan pokok di sepanjang jalan di Pusat Bandar 52 dan Jalan Selangor di Petaling Jaya.
“Pemeriksaan secara awal adalah kritikal supaya nyawa dan harta rakyat terjaga sebelum terlewat,” katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.
Kenyataan itu dibuat berikutan gesaannya sebelum ini supaya MBPJ melantik aborist atau doktor pokok bertauliah untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap pokok-pokok tua atau berisiko tinggi di Petaling Jaya.
Beliau menggesa majlis bandar raya untuk mengambil iktibar daripada insiden baru-baru ini di mana seorang lelaki maut dan dua lagi cedera dihempap pokok tumbang di Kuala Lumpur.
Lee yang juga pengarah komunikasi PKR berkata pagi ini beliau melawat beberapa kawasan yang terjejas akibat hujan lebat semalam.
“Ribut kuat melanda Petaling Jaya semalam. Pagi ini saya meninjau bumbung yang terbang di Flat Taman Perangsang bersama Penyelaras DUN Halimey Abu Bakar dan ahli majlis Nora Mansor,” katanya.
Hujan semalam turut menyebabkan beberapa pokok tumbang di jalan raya di Lembah Klang.
Dilaporkan sebatang pokok tumbang berhampiran Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya menghempap tiang elektrik manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata sebatang pokok tumbang di sepanjang Jalan Templer.
“Komander operasi memaklumkan sebatang pokok menghempap sebuah kereta bagaimanapun tiada mangsa yang terlibat,” kata jurucakap jabatan itu.
Laporan lain melaporkan pokok tumbang di sepanjang Jalan 5/31 di Seksyen 5 menghalang akses ke sebuah rumah di sana.
Adun Bukit Gasing Rajiv Risyhakaran dalam catatan Facebook berkata beliau menerima aduan mengenai pokok tumbang di Bukit Gasing.
Berikutan dua kes pokok tumbang di Kuala Lumpur baru-baru ini, DBKL mengenal pasti 28 pokok sebagai berisiko tinggi dan dijadualkan untuk ditebang. – 26 Mei 2024.
Komen