KANAK-KANAK tempatan berpotensi besar menjadi pemain bola sepak yang sangat berbakat setanding dengan anak-anak muda di Eropah.
Oleh sebab itu tiga usahawan bola sepak yang bercita-cita tinggi berazam memanfaatkan potensi ini untuk melahirkan Lamine Yamal atau Jude Bellingham versi Malaysia.
Trio ini percaya latihan yang baik, kemudahan yang mencukupi dan pembiayaan serta fokus yang betul pada sains sukan, diet yang sesuai dan kesejahteraan keseluruhan adalah kunci untuk menggalakkan serta membangunkan bakat bola sepak muda.
Dalam memainkan peranan mereka untuk mencari bintang bola sepak Malaysia yang seterusnya, mereka juga yakin dapat memberikan pendidikan bola sepak yang betul kepada pemain muda.
Berkawan sejak kecil, Mallek Halimi Rizal, Amri Hassan dan Adi Hassan baru-baru ini menubuhkan pusat latihan bola sepak yang dikenali sebagai Total Football Academy dengan matlamat utama melahirkan sebanyak mungkin pemain dengan kontrak profesional.
“Kami ingin memberikan model dan struktur latihan terbaik yang layak diterima oleh pemain muda ini untuk perkembangan mereka.
“Kami mahu membuka laluan untuk mereka yang akhirnya akan membawa mereka kepada kontrak profesional. Ukuran kejayaan kami akan berdasarkan berapa ramai pemain yang dilahirkan dengan kontrak profesional,” kata Halimi yang juga merupakan ketua jurulatih di pusat tersebut.
Beliau juga sangat prihatin untuk memberikan keselamatan dan perlindungan kepada pemain serta jurulatih agar mereka tidak berdepan sebarang bentuk penyalahgunaan.
“Ini akan menjadi persekitaran yang selamat untuk pemain dan jurulatih bekerja tanpa mengira bangsa atau jantina,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Halimi yang berusia 29 tahun membawa pengalaman luas ke dalam peranannya sebagai ketua jurulatih akademi dengan akreditasi daripada FA England dan FA Malaysia.
Sebagai penyokong fanatik Liverpool dan Steven Gerrard, beliau memiliki lebih daripada lima tahun pengalaman dalam melatih kanak-kanak dan remaja kategori U16.
“Minat saya dalam melatih bola sepak bermula apabila saya berusia 14 tahun. Saya ingat mula menonton perlawanan dengan cara yang berbeza, melihat situasi di luar bola.”
“Ketika itu saya diperkenalkan kepada peranan seorang jurulatih; seseorang yang bertanggungjawab menyelia pemain-pemain ini. Sejak itu, saya tahu menjadi jurulatih adalah apa yang saya mahu kejar sepanjang hayat saya.
“Halimi sentiasa bercita-cita untuk menjadi jurulatih bola sepak. Saya percaya padanya sejak awal lagi. Sekarang dia sedang bekerja untuk mencapai cita-citanya,” tambah sahabat baiknya Amri yang juga berusia 29 tahun dan menyokong Manchester United.
Adi adalah adik Amir dan mereka berdua merupakan usahawan dalam bidang masing-masing.
“Adi merupakan peminat fanatik Liverpool, sama seperti Halimi, manakala saya menyokong Manchester United. Walaupun kami berbeza dalam sokongan kelab, minat bersama kami terhadap bola sepak adalah perkara yang menyatukan kami. Bersama-sama kami berhasrat untuk memperbaiki suasana bola sepak di negara ini dan memberi impak yang sebenar,” kata Amri. – 19 Ogos, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen