PRK Nenggiri: Kemenangan moral bagi Kerajaan Madani, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kemenangan di PRK Nenggiri boleh menjadi dorongan moral bagi kerajaan Madani untuk terus menjaga kesejahteraan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikir Abdul Ghani atas kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

Anwar berkata kemenangan ini boleh menjadi dorongan moral bagi kerajaan Madani untuk terus menjaga kesejahteraan rakyat dan seterusnya mengangkat negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Tahniah saudara Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Barisan Nasional atas kemenangan dalam PRK Nenggiri semalam sekali gus membuktikan rakyat Kelantan menerima kesepakatan yang terhasil menerusi gabungan Perpaduan.

“Kemenangan ini juga adalah penzahiran kepercayaan rakyat yang semakin menyesuaikan diri dengan gelombang perubahan di bawah Kerajaan MADANI, selaras dengan petanda lonjakan ekonomi negara yang kian mekar sejak akhir-akhir ini.,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Azmawi memenangi PRK tersebut dengan majoriti yang meyakinkan sebanyak 3,352 dalam kawasan kecil dengan jumlah pengundi berdaftar sebanyak 20,259.

Beliau memperoleh 9,091 undi berbanding Mohd Rizwadi Ismail dari PAS yang meraih 5,739 undi.

Kemenangan Mohd Azmawi Fikir Abdul Ghani dalam PRK Nenggiri bermakna Barisan Nasional (BN) kini berjaya mendapatkan kerusi ketiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Kerusi-kerusi yang tinggal iaitu 42 daripada 45, dipegang oleh Perikatan Nasional.

Ini juga merupakan PRK pertama sejak pilihan raya umum ke-15 di mana parti yang memegang kerusi telah kalah kepada pencabar.

PRK Nenggiri melibatkan 20,230 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 17,636 pengundi Melayu, 36 pengundi Cina, lapan pengundi India dan 2,843 pengundi dari kumpulan etnik lain termasuk Orang Asli.

PRK ini diadakan selepas Speaker Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengisytiharkan kerusi tersebut yang dipegang oleh Mohd Azizi Abu Naim sebagai kosong.

Ini berikutan pemecatan keahlian Mohd Azizi dalam Bersatu yang dimaklumkan melalui notis rasmi kepadanya pada 13 Jun. – 18 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen