Kesatuan guru yakin pelarasan gaji kurangkan pencen awal


NUTP berkata pengumuman pelarasan gaji adalah dorongan besar untuk guru-guru yang berdepan cabaran dan kos sara hidup yang meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos 2024.

SISTEM Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan pelarasan gaji yang dipertingkatkan dijangka akan mengatasi isu pencen awal dalam kalangan guru, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang.

Aminuddin berkata pengumuman tersebut adalah dorongan besar untuk guru-guru yang berdepan cabaran dan kos sara hidup yang meningkat.

“Para guru kini bukan sahaja menikmati kenaikan gaji tahunan (KGT) tetapi dengan pelarasan gaji ini, tambahan kenaikan gaji turut diberikan.

“Selepas 12 tahun tanpa semakan, pelaksanaan SSPA bagi menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) adalah satu hadiah yang sangat bermakna buat para guru.

“Saya percaya langkah ini juga dapat mengurangkan trend guru bersara awal, dan mendorong para guru memberikan perkhidmatan terbaik sebagai tanda penghargaan atas apa yang telah diberikan kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pelaksanaan secara berperingkat akan bermula dengan kenaikan yang ketara dalam Fasa 1 pada Disember ini.

“Ini memang memberikan kelegaan kepada para guru…Guru juga adalah pengguna.

“Dalam Fasa 2 pelarasan gaji, kita akan melihat tambahan kenaikan selain daripada KGT.

“Pelaksanaan secara berfasa ini adalah pendekatan yang wajar oleh kerajaan dan tempoh untuk menikmati kenaikan gaji tersebut tidak terlalu lama,” katanya.

Aminuddin berkata pendekatan berperingkat yang melibatkan kenaikan gaji secara beransur-ansur adalah satu kaedah yang praktikal dan boleh diurus.

Beliau juga berharap akan ada maklumat yang lebih terperinci mengenai pelaksanaan penuh SSPA.

“Secara asasnya, kita baru dimaklumkan mengenai kenaikan gaji tetapi perincian lengkap tentang sistem tersebut masih belum dikemukakan.

“Oleh itu, kami berharap Jabatan Perkhidmatan Awam dapat memberikan penerangan yang lebih jelas mengenai pelaksanaan dan manfaat SSPA kepada penjawat awam,” katanya.

Pelarasan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dari 1 Disember 2024, untuk Fasa 1, dan dari 1 Januari 2026, untuk Fasa 2. – 18 Ogos 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen