KOMUNITI Sikh di Malaysia walaupun kecil bilangannya namun mereka berdiri teguh dalam hal perpaduan dan saling menyokong.
Seperti pepatah terkenal ‘memerlukan sebuah kampung untuk membesarkan seorang anak’, komuniti Sikh di sini melakukan perkara yang sama terutama dalam memastikan semua golongan dalam komuniti mereka mempunyai akses kepada pendidikan tinggi.
Timbalan Pengerusi Dana Bantuan Pendidikan Sikh Malaya (MSEAF) Manraj Singh Sandhu berkata melangkah ke arah pendidikan tinggi tidak seharusnya menjadi isu bagi komuniti Sikh.
Manraj berkata kumpulan tersebut menawarkan pinjaman tanpa faedah kepada pelajar Sikh yang layak untuk melanjutkan pendidikan tinggi mereka.
Ditubuhkan pada 1951, objektif MSEAF adalah untuk menggalakkan pelajar Sikh yang berkelayakan untuk mengikuti pembelajaran di mana-mana institusi pengajian tinggi awam atau swasta di Malaysia atau bahkan di luar negara.
Menyedari kepentingan pendidikan, organisasi ini tidak mahu kewangan menjadi penghalang dalam memperoleh Pendidikan.
“Kami mahu menggalakkan pelajar untuk mengikuti kursus dan belajar. Kebanyakan pelajar yang memohon pinjaman adalah dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.
“Kami tidak mahu mereka berfikir mereka tidak boleh belajar kerana ibu bapa mereka tidak mempunyai wang. Kami percaya pendidikan adalah sangat penting.
“Hari ini kami mempunyai ramai doktor, peguam, jurutera, akauntan dan ahli perniagaan yang mendapat manfaat daripada MSEAF,” kata Manraj kepada The Malaysian Insight.
Komuniti Sikh Malaysia dikenali sebagai salah sebuah komuniti terkecil di negara ini, dianggarkan kurang daripada 100,000 orang.
Walau bagaimanapun, komuniti Sikh mempunyai ikatan yang kuat.
Manraj berkata dana tersebut pada asasnya adalah idea datuk nenek mereka yang menyedari betapa pentingnya pendidikan.
Beliau berkata komuniti Sikh mengambil usaha dengan berkumpul untuk membantu membiayai pelajar walaupun pada masa dahulu kerana terdapat ramai dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai sumber atau dana untuk belajar dan memperoleh ijazah.
Kini usaha kolektif komuniti itu sedang merealisasikan impian ramai.
“Kami berkembang dan maju sepanjang tahun,” kata Manraj yang mengendalikan sebuah agensi digital.
Manraj berkata sejak penubuhannya penderma tetap menyumbang setiap bulan dan tahun.
Bagaimanapun pada 2010 semasa kerajaan Najib Razak, yayasan tersebut menerima sumbangan sekali sahaja sebanyak RM360,000.
“Kami tidak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan selepas itu. Hanya ahli komuniti yang menyumbang secara tetap.
“Saiz dana yayasan kini sekitar RM2.5 juta. Oleh kerana ia adalah pinjaman tanpa faedah, ia adalah dana berputar.
“Oleh itu, apa sahaja yang kami berikan, selepas pelajar tamat pengajian mereka mula membayar balik,” tambahnya.
Setakat ini MSEAF menerima 1,623 permohonan di mana 92% daripada calon yang sesuai disaring dan 85% adalah calon yang berjaya.
Oleh kerana ia adalah dana berputar, sejumlah RM5 juta diberikan sehingga kini. – 18 Ogos, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen