
INISIATIF kerajaan dalam pembasmian kemiskinan, penambahbaik sektor pendidikan dan pengagihan peruntukan kepada Sabah adalah antara perkara yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen dari negeri itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat dasar hari ini, Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) meminta kerajaan mempertimbang cadangan untuk memberi peruntukan khas kepada kawasan miskin bagi menoktahkan kemiskinan tegar khususnya di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata peruntukan itu perlu memfokus kepada pembangunan infrastruktur serta ekonomi rakyat selain kerajaan perlu lebih serius dan melipatgandakan usaha dalam mengatasi masalah yang membelenggu daerah termiskin.
“Dengan belanjawan yang begitu baik dibacakan, kita minta daerah-daerah yang termiskin di negeri Sabah dan Sarawak diberi tumpuan oleh kerajaan supaya apa yang kita suarakan di Dewan yang mulia ini akan mendapat perhatian,” katanya.
Menyentuh perkara sama, Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) juga ingin tahu inisiatif kerajaan untuk membasmi kemiskinan di Sabah menerusi Belanjawan 2024.
Beliau juga berharap peruntukan RM58.7 bilion yang disalur kepada Kementerian Pendidikan digunakan sebaik mungkin seperti memastikan kelengkapan prasarana di sekolah khususnya di kawasan luar bandar di Sabah.
“Seperti apabila dilahirkan (mewujudkan sesebuah), sekolah ini mesti berdasarkan keperluan bukan hanya rekomendasi daripada Yang Berhormat atau pihak-pihak tertentu.
“Saya harap sekolah yang nak kita wujudkan, belanjalah duit sebanyak mungkin… saya juga berharap penyediaan bekalan elektrik. Kita bagi tablet, bagi komputer tetapi lampu elektrik tiada,” katanya.
Shafie turut mencadangkan agar Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk menyediakan perkhidmatan bas sekolah bagi memudahkan perjalanan murid sekali gus menjamin keselamatan mereka.
Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ merupakan yang tertinggi pernah dibentang membabitkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu merangkumi RM303.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Bernama, 17 Oktober, 2023.
Komen