Cadangan kadar gaji minimum baharu dibentangkan bulan depan, kata menteri


Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kementerian menerima laporan dan cadangan mengenai kadar gaji minimum baharu daripada Majlis Perundingan Gaji Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2024.

CADANGAN mengenai kadar gaji minimum baharu dijangka akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan depan, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Steven Sim berkata Kementerian Sumber Manusia menerima laporan dan cadangan mengenai kadar gaji minimum baharu daripada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang dipengerusikan oleh Zainal Rahim Seman.

“Kementerian mengedarkan kertas Kabinet kepada kementerian berkaitan untuk diberi ulasan berhubung kadar gaji baharu itu.

“Kita akan bentang kertas Kabinet untuk pertimbangan dan keputusan di peringkat Kabinet tentang kadar gaji minimum baharu.

“... pembentangan (dalam mesyuarat Jemaah Menteri) mungkin dilaksanakan dalam bulan September,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) ke-27 di Putrajaya hari ini.

Beliau sebelum ini berkata kerajaan akan mengkaji semula gaji minimum yang terakhir dikemas kini pada Mei 2022 dengan menaikkannya dari RM1,200 kepada RM1,500.

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim melahirkan harapan agar sektor swasta terutamanya syarikat-syarikat yang mempunyai keuntungan tinggi akan mengkaji semula skim gaji mereka untuk memberikan pampasan yang lebih wajar kepada pekerja mereka.

Beliau berkata reformasi gaji perkhidmatan awam juga merupakan satu mesej kepada syarikat swasta untuk meningkatkan gaji pekerja bagi membantu meringankan beban kewangan mereka. – 17 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen