Anwar umum gaji penjawat awam naik lebih 13%


Noel Achariam

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Mei, 2024.

PENJAWAT awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13% mulai Disember tahun ini, umum Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurutnya kenaikan itu merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13%, dan tahun ini saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13%.

“Maka kita akan laksanakan lebih 13% kenaikan mulai 1 Disember tahun ini, sebab saya sudah berjanji,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Perdana menteri berkata pendapatan minimum penjawat awam termasuk gaji dan elaun tetap mestilah melebihi RM2,000 sebulan.

“Pada masa ini pendapatan menyeluruh minimum adalah pada kadar RM1,765. Saya setuju tak munasabah.

“Maka tahun ini kriteria ukuran baharu sistem saraan iaitu pendapatan menyeluruh gaji dan elaun tetap mesti lebih RM2,000,” kata beliau.

Menurut Anwar, kenaikan gaji itu akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong ketika berucap dalam majlis yang sama berkata kerajaan akan menyemak semula kadar gaji minimum pada tahun ini.

“Kajian 10 tahun menunjukkan gaji minimum mempunyai kesan positif ke atas mereka yang berpendapatan rendah dengan peningkatan upah bulanan individu hampir 60% dari 2010 hingga 2019.”

Sim berkata Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sedar gaji minimum sahaja tidak memadai, terutamanya mereka yang berpendapatan sederhana.

Oleh itu, bagi menambahbaik keadaan upah pekerja di negara ini, kerajaan akan memperkenalkan dasar gaji progresif bagi memacu pampasan upah yang lebih baik, tambahnya.

Beliau juga berkata Kesuma akan memperuntukkan RM2.56 bilion bagi menyediakan pelbagai latihan kemahiran untuk rakyat Malaysia.

“Terdapat pelbagai kursus dalam pelbagai bidang ditawarkan termasuk bidang kemahiran terkini seperti AI, robotik, teknologi 5G, pengkodan komputer, kemahiran dalam ekonomi hijau ‘green skills’ dan sebagainya,” kata Sim. – 1 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen