Datuk Bandar baharu akan naikkan imej DBKL, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan watikah pelantikan kepada Dr Maimunah Mohd Sharif.– Gambar Facebook, 15 Ogos, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata Dr Maimunah Mohd Sharif adalah orang yang tepat untuk memegang jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan mengetuai Dewan Bandaraya KL (DBKL).

Beliau percaya Maimunah layak untuk menunaikan tanggungjawab ini, memandangkan pengalamannya hampir empat dekad dalam perancangan bandar dan pembangunan komuniti, di mana beliau telah menerajui pelbagai institusi di dalam dan luar negara.

Anwar berkata Maimunah sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan presiden Majlis Perbandaran Seberang Perai serta presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).

“Lebih membanggakan, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya, satu-satunya wanita Asia yang memegang jawatan ini.

“Moga pengalaman hebat yang dimiliki ini akan digunakan untuk memperbaiki taraf kehidupan warga Kuala Lumpur serta mengangkat imej, reputasi dan martabat bandaraya ini ke peringkat lebih tinggi, Insya-Allah,” katanya menerusi Facebook. 

Maimunah, 63, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa hari ini, menggantikan Kamarulzaman Mat Salleh, yang bersara wajib.

Terdahulu, Anwar menyampaikan watikah pelantikan kepada Maimunah.

Pelantikan itu telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. – 15 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen